Seksyen Cetak
13
Grin
Tujuan Peraturan: Peraturan 13 adalah Peraturan spesifik untuk grin. Grin disediakan khas untuk bermain bola di permukaan tanah dan terdapat tiang bendera untuk lubang di setiap grin, jadi terdapat Peraturan tertentu yang berlainan diguna pakai jika dibandingkan dengan kawasan lain di lapangan.
13
Grin
13.1

Tindakan yang Dibenarkan atau Dikehendaki Di Grin

Tujuan Peraturan: Peraturan ini membenarkan pemain melakukan beberapa perkara di grin yang biasanya tidak dibenarkan di luar grin, seperti mereka dibenarkan menanda, mengangkat, membersih dan meletakkan semula bola dan membaiki kerosakan dan mengalihkan pasir dan tanah peroi di grin. Tiada penalti kerana dengan tidak sengaja menyebabkan bola atau penanda bola beralih di grin tersebut.
13.1a

Bila Bola Berada di Grin

Bola berada di grin apabila mana-mana bahagian bola:
  • Menyentuh grin, atau
  • Berada di atas atau di dalam apa-apa benda (seperti rintangan terlerai atau halangan) dan berada dalam had grin.
Jika sebahagian daripada bola berada di kedua-dua tempat di grin dan kawasan lapangan lain, lihat Peraturan 2.2c.
13.1b

Menandakan, Mengangkatkan dan Membersihkan Bola di Grin

Bola di grin boleh diangkat dan dibersihkan (lihat Peraturan 14.1). Tempat bola mesti ditandakan sebelum diangkatkan (lihat Peraturan 14.1) dan bola tersebut mesti diletakkan semula di tempat asal (lihat Peraturan 14.2).
13.1c

Penambahbaikan Dibenarkan di Grin

Semasa suatu pusingan dan ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a, pemain boleh mengambil dua tindakan berikut di grin, tidak kira sama ada bola berada di grin atau di luar grin: (1) Mengalihkan Pasir dan Tanah Peroi. Pasir dan tanah peroi di grin boleh dialihkan tanpa penalti. (2) Membaiki Kerosakan. Pemain boleh membaiki kerosakan di grin tanpa penalti dengan mengambil tindakan wajar untuk memulihkan grin tersebut sebaik mungkin kepada keadaan asal, tetapi hanya:
  • Dengan menggunakan tangan, kaki atau bahagian badan lain atau alat membaiki lekukan bola yang biasa, ti, klab atau benda yang serupa dengan peralatan biasa, dan
  • Tanpa melengahkan permainan tanpa sebab (lihat Peraturan 5.6a).
Tetapi jika pemain menambah baik grin dengan mengambil tindakan yang tidak sepatutnya untuk memulihkan grin kepada keadaan asal (seperti membuat laluan ke arah lubang dengan menggunakan objek yang tidak dibenarkan), pemain dikenakan penalti umum melanggar Peraturan 8.1a. “Kerosakan di grin” bermaksud apa-apa kerosakan yang disebabkan oleh individu (termasuk pemain) atau pengaruh luar, seperti:
  • Bekas bola, kerosakan kasut (seperti paku kasut) dan goresan atau lekukan yang disebabkan oleh peralatan atau tiang bendera,
  • Palam lubang lama, palam rumput, kelim potongan rumput dan goresan atau lekukan disebabkan oleh alat penyelenggaraan atau kenderaan,
  • Laluan haiwan atau lekukan kuku, dan
  • Objek terbenam (seperti batu, buah oak, ketulan hujan batu atau ti) dan lekukan yang disebabkan oleh mereka.
Tetapi “kerosakan di grin” tidak termasuk apa-apa kerosakan atau keadaan akibat daripada:
  • Amalan biasa untuk menyelenggara keseluruhan keadaan grin (seperti lubang pengudaraan dan alur yang disebabkan oleh potongan menegak),
  • Saliran atau hujan atau kuasa semula jadi lain,
  • Permukaan semula jadi yang tidak sempurna (seperti rumpai atau kawasan kontang, berpenyakit atau tumbuh tidak rata), atau
  • Lubang haus dengan semula jadi.
13.1d

Apabila Bola atau Penanda Bola Beralih di Grin

Terdapat dua Peraturan spesifik untuk bola atau penanda bola yang beralih di grin. (1) Tiada Penalti Dengan Tidak Sengaja Menyebabkan Bola Beralih. Tiada penalti jika pemain, pemain lawan atau pemain lain dalam permainan pukulan dengan tidak sengaja mengalihkan bola atau penanda bola pemain di grin. Pemain tersebut mesti:
  • Meletakkan semula bola di tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2), atau
  • Meletakkan penanda bola untuk menandakan tempat asal itu.
Pengecualian – Bola Mesti Dimainkan di Kedudukannya Apabila Bola Mula Bergerak Semasa Ayunan Belakang atau Pukulan dan Pukulan Telah Dilakukan (lihat Peraturan 9.1b). ika pemain atau pemain lawan dengan sengaja mengangkat bola atau penanda bola pemain di grin, lihat Peraturan 9.4 atau Peraturan 9.5 untuk mengetahui jika terdapat penalti.   
(2) Bila Meletakkan Semula Bola yang Dialihkan oleh Kuasa Semula Jadi. Jika kuasa semula jadi menyebabkan bola pemain di grin beralih, tempat pemain mesti bermain seterusnya bergantung sama ada bola tersebut telah diangkatkan dan diletakkan semula di grin (lihat Peraturan 14.1):
  • Bola Telah Diangkatkan dan Diletakkan Semula. Bola mesti diletakkan semula di tempat bola tersebut telah dialihkan (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2), walaupun bola telah dialihkan oleh kuasa semula jadi dan bukan oleh pemain, pemain lawan atau pengaruh luar (lihat Pengecualian Peraturan 9.3).
  • Bola Masih Belum Diangkatkan dan Diletakkan Semula. Bola tersebut mesti dimainkan dari tempat baharu (lihat Peraturan 9.3).
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 13.1d: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a.
13.1e

Tidak Menguji Grin dengan Sengaja

Semasa suatu pusingan dan ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a, pemain mesti tidak dengan sengaja mengambil apa-apa tindakan yang berikut untuk menguji grin atau grin salah:
  • Menggosok permukaan grin, atau
  • Menggolek bola.
Pengecualian – Menguji Grin Bila Berada Antara Dua Lubang: Antara dua lubang, pemain boleh menggosok permukaan grin atau menggolekkan bola di grin lubang yang baharu sahaja ditamatkan dan di mana-mana grin latihan (lihat Peraturan 5.5b). Penalti Menguji Grin atau Grin salah Melanggar Peraturan 13.1e: Penalti Umum. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan I-2 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan melarang pemain menggolekkan bola di grin lubang yang baharu sahaja ditamatkan.)
13.1f

Pelepasan Mesti Diambilkan dari Grin Salah

(1) Maksud Gangguan oleh Grin Salah. Terdapat gangguan di bawah Peraturan ini apabila:
  • Mana-mana bahagian bola pemain menyentuh grin salah atau berada di atas atau di dalam apa-apa benda (seperti rintangan terlerai atau halangan) dan berada dalam had grin salah, atau
  • Grin salah mengganggu kawasan posisi sedia dan kawasan ayunan yang diniatkan oleh pemain secara fizikal.
(2) Pelepasan Mesti Diambilkan. Apabila terdapat gangguan oleh grin salah, pemain mesti tidak bermain bola di kedudukannya. Sebaliknya, pemain mesti mengambil pelepasan percuma dengan menjatuhkan bola asal atau bola lain dalam kawasan pelepasan ini (lihat Peraturan 14.3):
  • Titik Rujukan: Titik pelepasan penuh terdekat dalam kawasan lapangan yang sama dengan tempat bola asal menetap.
  • Saiz Kawasan Pelepasan Diukur dari Titik Rujukan: Satu panjang klab, tetapi dengan had yang berikut:
  • Had Lokasi Kawasan Pelepasan:
    • Mesti berada dalam kawasan lapangan yang sama dengan titik rujukan,
    • Mesti tidak berada lebih dekat lubang berbanding dengan titik rujukan, dan
    • Mesti pelepasan penuh daripada semua gangguan oleh grin salah.
(3) Tiada Pelepasan Apabila Jelas Tidak Munasabah. Tiada pelepasan di bawah Peraturan 13.1f jika gangguan wujud hanya kerana pemain memilih klab, jenis posisi sedia atau ayunan atau arah permainan yang jelas tidak munasabah dalam keadaan tersebut. Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 13.1f: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a. Lihat Prosedur Jawatankuasa,Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan D-3 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan menafikan pelepasan daripada grin salah yang hanya mengganggu kawasan posisi sedia yang diniatkan).
13.2

Tiang Bendera

Tujuan Peraturan: Peraturan ini merangkumi pilihan pemain untuk berurusan dengan tiang bendera. Pemain boleh meninggalkan tiang bendera di dalam lubang atau mengalihkannya (termasuk menempatkan individu untuk menjaga tiang bendera dan mengeluarkan tiang bendera tersebut selepas bola dimainkan), tetapi mesti membuat keputusan sebelum melakukan pukulan. Biasanya tiada penalti jika bola dalam pergerakan melanggar tiang bendera.
Peraturan ini diguna pakai untuk bola yang dimainkan dari mana-mana tempat di lapangan, sama ada di atas atau di luar grin.
13.2a

Meninggalkan Tiang Bendera Dalam Lubang

(1) Pemain Boleh Meninggalkan Tiang Bendera di Dalam Lubang. Pemain boleh melakukan pukulan dengan meninggalkan tiang bendera di dalam lubang, jadi ada kemungkinan bola dalam pergerakan akan melanggar tiang bendera tersebut. Pemain mesti memutuskan hal ini sebelum melakukan pukulan, sama ada dengan:
  • Meninggalkan tiang bendera seadanya di dalam lubang atau mengalihkannya ke tengah-tengah lubang dan meninggalkannya di situ, atau
  • Meletakkan semula tiang bendera yang telah dialihkan ke dalam lubang.
Dalam mana-mana kes:
  • Pemain mesti tidak mencuba untuk mendapatkan kelebihan ketara dengan mengalihkan tiang bendera ke tempat lain selain di tengah-tengah lubang tersebut.
  • Jika pemain berbuat demikian dan bola dalam pergerakan kemudiannya melanggar tiang bendera tersebut, mereka dikenakan penalti umum.
(2) Tiada Penalti Jika Bola Melanggar Tiang Bendera yang Ditinggalkan di Dalam Lubang. Jika pemain melakukan pukulan dengan meninggalkan tiang bendera di dalam lubang dan bola dalam pergerakan kemudiannya melanggar tiang bendera tersebut:
  • Tiada penalti (kecuali seperti yang disediakan dalam (1)), dan
  • Bola mesti dimainkan di kedudukannya.
(3) Had Pemain Mengalihkan atau Mengeluarkan Tiang Bendera Ketika Bola Dalam Pergerakan. Selepas melakukan pukulan dengan tiang bendera ditinggalkan di dalam lubang:
  • Pemain dan kedi mereka mesti tidak dengan sengaja menggerakkan atau mengalihkan tiang bendera tersebut untuk mempengaruhi tempat bola dalam pergerakan pemain akan menetap (seperti untuk mengelakkan bola melanggar tiang bendera). Jika hal ini dilakukan, pemain tersebut dikenakan penalti umum.
  • Tetapi tiada penalti jika pemain menggerakkan atau mengalihkan tiang bendera di dalam lubang atas apa-apa sebab lain, seperti apabila mereka percaya bahawa bola dalam pergerakan tersebut tidak akan melanggar tiang bendera sebelum menetap.
(4) Had Pemain Lain Mengalihkan atau Mengeluarkan Tiang Bendera Apabila Pemain Memutuskan untuk Meninggalkan Tiang Bendera di Dalam Lubang. Apabila pemain telah meninggalkan tiang bendera di dalam lubang dan tidak membenarkan individu lain menjaga tiang bendera (lihat Peraturan 13.2b(1)), pemain lain mesti tidak dengan sengaja menggerakkan dan mengalihkan tiang bendera tersebut untuk mempengaruhi tempat bola pemain akan menetap.
  • Jika pemain lain atau kedi mereka berbuat demikian sebelum atau semasa pukulan dan pemain tersebut melakukan pukulan tanpa menyedari hal ini, atau berbuat demikian ketika bola milik pemain berada dalam pergerakan selepas pukulan tersebut, pemain lain itu dikenakan penalti umum.
  • Tetapi tiada penalti jika pemain lain atau kedi mereka menggerakkan atau mengalihkan tiang bendera tersebut atas sebab lain, seperti apabila mereka:
    • Percaya bahawa bola dalam pergerakan pemain tidak akan melanggar tiang bendera sebelum menetap, atau
    • Tidak sedar bahawa pemain baru mula untuk bermain atau bola pemain tersebut berada dalam pergerakan.
Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
13.2b

Mengeluarkan Tiang Bendera dari Lubang

(1) Pemain Boleh Mengeluarkan Tiang Bendera dari Lubang. Pemain boleh melakukan pukulan dengan mengeluarkan tiang bendera dari lubang, supaya bola dalam pergerakan mereka tidak akan melanggar tiang bendera di dalam lubang tersebut. Pemain mesti memutuskan hal ini sebelum melakukan pukulan, sama ada dengan:
  • Mengeluarkan tiang bendera dari lubang sebelum bermain bola, atau
  • Membenarkan individu menjaga tiang bendera, yang bermaksud untuk:
    • Memegang tiang bendera di dalam, di atas atau di sebelah lubang sebelum pukulan untuk menunjukkan kepada pemain tempat lubang tersebut berada, dan
    • Kemudiannya mengeluarkan tiang bendera tersebut semasa atau selepas pukulan dilakukan.
Pemain dianggap telah membenarkan tiang bendera dijaga jika:
  • Kedi pemain sedang memegang tiang bendera di dalam, di atas atau di sebelah lubang atau berdiri betul-betul di sebelah lubang apabila pukulan dilakukan, walaupun pemain tidak menyedari kedi berbuat demikian,
  • Pemain meminta individu lain untuk menjaga tiang bendera dan individu itu berbuat demikian, atau
  • Pemain melihat individu lain memegang tiang bendera di dalam, di atas atau di sebelah lubang atau berdiri betul-betul di sebelah lubang tersebut, dan pemain melakukan pukulan tanpa meminta individu itu beredar atau meninggalkan tiang bendera tersebut di dalam lubang.
(2) Apa Patut Dilakukan Jika Bola Melanggar Tiang Bendera atau Individu Menjaga Tiang Bendera. Jika bola dalam pergerakan pemain melanggar tiang bendera yang telah diputuskan untuk dialihkan di bawah (1), atau melanggar individu yang menjaga tiang bendera tersebut (atau apa-apa yang dipegang oleh individu itu), apa yang berlaku bergantung sama ada hal ini berlaku dengan sengaja atau tidak:
  • Bola Dengan Tidak Sengaja Melanggar Tiang Bendera atau Individu yang Mengalihkan atau Menjaga Tiang Bendera. Jika bola dalam pergerakan pemain dengan tidak sengaja melanggar tiang bendera atau individu yang mengalihkan atau menjaga tiang bendera (atau apa-apa yang dipegang oleh individu itu), tiada penalti dan bola tersebut mesti dimainkan di kedudukannya.
  • Bola Dengan Sengaja Dipesongkan atau Dihentikan oleh Individu yang Menjaga Tiang Bendera. Jika individu yang menjaga tiang bendera dengan sengaja memesongkan atau menghentikan bola dalam pergerakan pemain, Peraturan 11.2c diguna pakai:
    • Tempat Bola Dimainkan. Pemain mesti tidak bermain bola tersebut di kedudukannya, sebaliknya mesti mengambil pelepasan di bawah Peraturan 11.2c.
    • Bila Penalti Dikenakan. Jika individu yang memesongkan atau menghentikan bola dengan sengaja adalah pemain atau kedi pemain, pemain itu dikenakan penalti umum melanggar Peraturan 11.2 .
Untuk tujuan Peraturan ini, “dengan sengaja memesongkan atau menghentikan” bermaksud sama seperti dalam Peraturan 11.2a, dan termasuk apabila bola dalam pergerakan milik pemain melanggar:
  • Tiang bendera yang telah dialihkan tetapi dengan sengaja diletakkan dan ditinggalkan di tempat tertentu di atas tanah supaya tiang bendera tersebut memesongkan atau menghentikan bola,
  • Tiang bendera yang dijaga tetapi individu tersebut dengan sengaja tidak mengalihkannya dari lubang atau mengelak daripada bola, atau
  • Individu yang menjaga atau mengalihkan tiang bendera (atau apa-apa yang dipegang oleh individu tersebut), apabila mereka dengan sengaja gagal mengelak daripada bola tersebut.
Pengecualian – Sekatan Mengalihkan Tiang Bendera dengan Sengaja untuk Mempengaruhi Bola dalam Pergerakan (lihat Peraturan 11.3). Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
13.2c

Bola Bersandar pada Tiang Bendera Dalam Lubang

Jika bola pemain bersandar pada tiang bendera yang ditinggalkan di dalam lubang:
  • Jika mana-mana bahagian bola berada di dalam lubang di bawah permukaan grin, bola tersebut dianggap telah masuk lubang walaupun keseluruhan bola tidak berada di bawah permukaan grin.
  • Jika tiada bahagian bola berada di dalam lubang di bawah permukaan grin:
    • Bola tidak masuk lubangdan mesti dimainkan di kedudukannya.
    • Jika tiang bendera dikeluarkan dan bola tersebut beralih (sama ada bola jatuh ke dalam lubang atau bergerak jauh dari lubang), tiada penalti dan bola mesti diletakkan semula di tepi lubang tersebut (lihat Peraturan 14.2).
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 13.2c: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a. Dalam permainan pukulan, penyertaan pemain dibatalkan jika mereka gagal menamatkan lubang seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 3.3c.
13.3

Bola Hampir Masuk di Tepi Lubang

13.3a

Masa Menunggu untuk Melihat Jika Bola Hampir Masuk di Tepi Lubang Akan Masuk ke Dalam Lubang

Jika sebahagian daripada bola pemain hampir masuk berada di bibir lubang:
  • Pemain dibenarkan masa yang wajar untuk tiba ke lubang dan masa tambahan sepuluh saat untuk menunggu dan melihat sama ada bola akan jatuh ke dalam lubang tersebut.
  • Jika bola masuk ke dalam lubang dalam masa menunggu ini, bola pemain telah masuk lubang disebabkan oleh pukulan sebelumnya.
  • Jika bola tidak masuk lubang dalam masa menunggu ini:
    • Bola dianggap dalam keadaan tetap.
    • Jika bola kemudiannya masuk lubang sebelum dimainkan, pemain tersebut telah menamatkan lubang dengan pukulan sebelumnya, tetapi dikenakan satu pukulan penalti yang dicampurkan pada skor lubang tersebut.
13.3b

Apa Patut Dilakukan Jika Bola Hampir Masuk di Tepi Lubang Diangkat atau Dialihkan Sebelum Masa Menunggu Berakhir

Jika bola hampir masuk berada di tepi lubang diangkat atau dialihkan, selain daripada kuasa semula jadi, sebelum masa menunggu di bawah Peraturan 13.3a berakhir, bola tersebut dianggap berada dalam keadaan tetap:
  • Bola mesti diletakkan semula di bibir lubang (lihat Peraturan 14.2), dan
  • Masa menunggu di bawah Peraturan 13.3a tidak lagi diguna pakai untuk bola tersebut. (Lihat Peraturan 9.3 untuk apa patut dilakukan jika bola yang diletakkan semula kemudiannya dialihkan oleh kuasa semula jadi.)
Jika pemain lawan dalam permainan lawan atau pemain lain dalam permainan pukulan dengan sengaja mengangkat atau mengalihkan bola pemain hampir masuk yang berada di tepi lubang sebelum masa menunggu berakhir:
  • Dalam permainan lawan, bola pemain dianggap telah masuk lubang dengan pukulan sebelumnya, dan tiada penalti kepada pemain lawan di bawah Peraturan 11.2b.
  • Dalam permainan pukulan, pemain yang telah mengangkat atau mengalihkan bola dikenakan penalti umum (dua pukulan penalti). Bola mesti diletakkan semula di tepi lubang tersebut (lihat Peraturan 14.2).
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya