Seksyen Cetak
16
Pelepasan daripada Keadaan Lapangan Tidak Normal (Termasuk Halangan Tidak Boleh Alih), Keadaan Haiwan Berbahaya, Bola Terbenam
Tujuan Peraturan: Peraturan 16 merangkumi masa dan cara pemain boleh mengambil pelepasan percuma dengan bermain bola dari tempat yang berlainan, seperti apabila terdapat gangguan keadaan lapangan tidak normal atau keadaan haiwan berbahaya.
  • Keadaan ini tidak dianggap sebahagian daripada cabaran bermain di lapangan, dan pelepasan percuma secara umumnya dibenarkan kecuali dalam kawasan penalti.
  • Pemain biasanya mengambil pelepasan dengan menjatuhkan bola dalam kawasan pelepasan berdasarkan pada titik pelepasan penuh terdekat.
Peraturan ini juga merangkumi pelepasan percuma apabila bola pemain terbenam dalam lekuk bolanya sendiri dalam kawasan umum.
16
Pelepasan daripada Keadaan Lapangan Tidak Normal (Termasuk Halangan Tidak Boleh Alih), Keadaan Haiwan Berbahaya, Bola Terbenam
16.1

Keadaan Lapangan Tidak Normal (Termasuk Halangan Tidak Boleh Alih)

Peraturan ini merangkumi pelepasan percuma yang dibenarkan daripada gangguan lubang haiwan, kawasan sedang dibaiki, halangan tidak boleh alih atau air sementara:
  • Secara kolektif, kawasan tersebut dipanggil keadaan lapangan tidak normal, tetapi setiap satu keadaan tersebut mempunyai definisinya sendiri.
  • Peraturan ini tidak memberikan pelepasan daripada halangan boleh alih (jenis pelepasan yang berlainan di bawah Peraturan 15.2a) atau objek sempadan atau objek integral (tiada pelepasan percuma dibenarkan).
16.1a

Bila Pelepasan Dibenarkan

(1) Maksud Gangguan Keadaan Lapangan Tidak Normal. Gangguan wujud apabila salah satu daripada hal yang berikut adalah benar:
  • Bola pemain menyentuh atau berada dalam atau di atas keadaan lapangan tidak normal,
  • Keadaan lapangan tidak normal secara fizikal mengganggu kawasan posisi sedia yang diniatkan atau kawasan ayunan yang diniatkan oleh pemain, atau
  • Hanya apabila bola berada di grin, keadaan lapangan tidak normal berada di atas atau di luar grin mengganggu di garis permainan.
Jika keadaan lapangan tidak normal yang berdekatan mengganggu pemain tetapi tidak menepati apa-apa syarat tersebut, hal ini tiada gangguan di bawah Peraturan ini. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan F-6 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan untuk menafikan pelepasan daripada keadaan lapangan tidak normal yang hanya mengganggu kawasan posisi sedia yang diniatkan). (2) Pelepasan Dibenarkan di Lapangan Kecuali Apabila Bola Berada dalam Kawasan Penalti. Pelepasan gangguan keadaan lapangan tidak normal dibenarkan di bawah Peraturan 16.1 hanya apabila kedua-dua:
  • Keadaan lapangan tidak normal berada di lapangan (tidak di luar sempadan), dan
  • Bola berada di mana-mana tempat di lapangan, kecuali dalam kawasan penalti (pelepasan pemain hanya di bawah Peraturan 17).
(3) Tiada Pelepasan Apabila Jelas Tidak Munasabah Bermain Bola. Tiada pelepasan di bawah Peraturan 16.1:
  • Apabila bermain bola di kedudukannya jelas tidak munasabah disebabkan oleh perkara lain yang tidak membenarkan pemain mengambil pelepasan percuma (seperti, apabila pemain tidak boleh melakukan pukulan kerana bola berada dalam semak), atau
  • Apabila terdapat gangguan hanya kerana pemain memilih klab, jenis posisi sedia atau ayunan atau arah permainan yang jelas tidak munasabah dalam keadaan tersebut.
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan F-23 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan membenarkan pelepasan percuma gangguan halangan tidak boleh alih sementara yang berada dalam atau di luar lapangan).
16.1b

Pelepasan Bola dalam Kawasan Umum

Jika bola pemain berada dalam kawasan umum dan terdapat gangguan keadaan lapangan tidak normal di lapangan, pemain boleh mengambil pelepasan percuma dengan menjatuhkan bola asal atau bola lain dalam kawasan pelepasan ini (lihat Peraturan 14.3):
  • Titik Rujukan: Titik pelepasan penuh terdekat dalam kawasan umum.
  • Saiz Kawasan Pelepasan Diukur dari Titik Rujukan: Satu panjang klab, tetapi dengan had yang berikut:
  • Had Tempat Kawasan Pelepasan:
    • Mesti dalam kawasan umum,
    • Mesti tidak lebih dekat lubang dibandingkan dengan titik rujukan, dan
    • Mesti terdapat pelepasan penuh daripada semua gangguan keadaan lapangan tidak normal.
16.1c

Pelepasan Bola dalam Bunker

Jika bola pemain berada dalam bunker dan terdapat gangguan keadaan lapangan tidak normal  di lapangan, pemain boleh mengambil pelepasan percuma di bawah (1) atau pelepasan penalti di bawah (2): (1) Pelepasan Percuma: Bermain dari Bunker. Pemain boleh mengambil pelepasan percuma di bawah Peraturan 16.1b , kecuali :
  • Titik pelepasan penuh terdekat dan kawasan pelepasan mesti berada dalam bunker tersebut.
  • Jika tiada titik pelepasan penuh terdekat  dalam bunker tersebut, pemain masih boleh mengambil pelepasan ini dengan menggunakan  titik pelepasan maksimum dalam bunker  tersebut sebagai titik rujukan.
(2) Pelepasan Penalti: Bermain dari Luar Bunker (Pelepasan Sepanjang Atas Garisan Belakang). Untuk  satu pukulan penalti , pemain boleh menjatuhkan bola asal atau bola lain (lihat Peraturan 14.3) di luar bunker itu, dengan mengambil tempat bola asal di antara lubang dan tempat bola dijatuhkan (tiada had sejauh mana bola tersebut boleh dijatuhkan). Tempat di atas garisan bola menyentuh tanah apabila bola tersebut dijatuhkan mewujudkan kawasan pelepasan satu panjang klab dalam mana-mana arah dari titik itut, tetapi dengan had berikut:
  • Had Tempat Kawasan Pelepasan:
    • Mesti tidak lebih dekat lubang dari tempat bola asal, dan
    • Boleh berada dalam mana-mana kawasan lapangan kecuali bunker yang sama, tetapi
    • Mesti berada dalam kawasan lapangan yang sama disentuh oleh bola apabila dijatuhkan.
16.1d

Pelepasan Bola di Grin

Jika bola pemain berada di grin dan terdapat gangguan daripada keadaan lapangan tidak normal di lapangan, pemain boleh mengambil pelepasan percuma dengan meletakkan bola asal atau bola lain di tempat titik pelepasan penuh terdekat, menggunakan prosedur meletakkan semula bola di bawah Peraturan 14.2b(2) dan 14.2e.
  • Titik pelepasan penuh terdekat mesti berada sama ada di grintersebut atau dalam kawasan umum.
  • Jika tiada titik pelepasan penuh terdekat, pemain masih boleh mengambil pelepasan percuma ini dengan menggunakan titik pelepasan maksimum sebagai titik rujukan dan mesti berada sama ada di grin tersebut atau dalam kawasan umum.
16.1e

Pelepasan Bola yang Tidak Dijumpai tetapi Berada Dalam atau di Atas Keadaan Lapangan Tidak Normal

Jika bola pemain tidak dijumpai dan diketahui atau kelihatan pasti bola tersebut menetap dalam atau di atas keadaan lapangan tidak normal di lapangan, pemain boleh menggunakan pilihan pelepasan ini selain daripada mengambil pelepasan pukulan dan jarak:
  • Pemain boleh mengambil pelepasan di bawah Peraturan 16.1b, c atau d, menggunakan titik anggaran tempat terakhir bola melintasi had keadaan lapangan tidak normal di lapangan sebagai tempat bola tersebut untuk mencari titik pelepasan penuh terdekat.
  • Apabila pemain telah memasukkan bola lain ke dalam permainan untuk mengambil pelepasan dengan cara ini:
    • Bola asal tidak lagi dalam permainan dan mesti tidak dimainkan.
    • Hal ini benar walaupun bola asal kemudiannya dijumpai di lapangan sebelum masa carian tiga minit berakhir (lihat Peraturan 6.3b).
Tetapi jika tidak diketahui atau kelihatan pasti bola tersebut menetap dalam atau di atas keadaan lapangan tidak normal dan bola hilang, pemain mesti mengambil pelepasan pukulan dan jarak di bawah Peraturan 18.2.
16.1f

Pelepasan Mesti Diambil daripada Gangguan Zon Larangan Bermain dalam Keadaan Lapangan Tidak Normal

Dalam setiap situasi yang berikut, bola mesti tidak dimainkan di kedudukannya: (1) Pelepasan Apabila Bola Berada dalam Zon Larangan Bermain di Mana-mana Tempat di Lapangan Kecuali Kawasan Penalti. Jika bola pemain berada dalam zon larangan bermain dalam atau di atas keadaan lapangan tidak normal dalam kawasan umum, dalam bunker atau di grin:
  • Zon Larangan Bermain di Kawasan Umum. Pemain mesti mengambil pelepasan percuma di bawah Peraturan 16.1b.
  • Zon Larangan Bermain dalam Bunker. Pemain mesti mengambil pelepasan percuma di bawah Peraturan 16.1b, c(1) atau (2).
  • Zon Larangan Bermain di Grin. Pemain mesti mengambil pelepasan percuma di bawah Peraturan 16.1d.
(2) Pelepasan Apabila Zon Larangan Bermain Mengganggu Posisi Sedia atau Ayunan untuk Bola Berada di Mana-mana Tempat di Lapangan Kecuali Kawasan Penalti. Jika bola pemain berada di luar zon larangan bermain dan dalam kawasan umum, dalam bunker atau di grin, dan zon larangan bermain (sama ada dalam keadaan lapangan tidak normal atau dalam kawasan penalti) mengganggu kawasan posisi sedia yang diniatkan atau kawasan ayunan yang diniatkan oleh pemain, pemain tersebut mesti sama ada:
  • Mengambil pelepasan jika dibenarkan di bawah Peraturan 16.1b, c atau d, bergantung sama ada bola tersebut berada di kawasan umum, dalam bunker atau di grin, atau
  • Mengambil pelepasan bola tidak boleh dimainkan di bawah Peraturan 19.
Tentang apa yang patut dilakukan apabila terdapat gangguan zon larangan bermain pada bola yang berada dalam kawasan penalti, lihat Peraturan 17.1e. Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 16.1: Penalti Umum di Bawah Peraturan 14.7a.
16.2

Keadaan Haiwan Berbahaya

16.2a

Bila Pelepasan Dibenarkan

Terdapat “keadaan haiwan berbahaya” apabila haiwan berbahaya (contohnya ular bisa, lebah yang menyengat, buaya, semut api atau beruang) berada dekat dengan bola yang boleh mengakibatkan kecederaan fizikal kepada pemain jika mereka terpaksa bermain bola di kedudukan asal. Pemain boleh mengambil pelepasan di bawah Peraturan 16.2b daripada gangguan keadaan haiwan berbahaya tanpa mengira tempat bola mereka di lapangan. Peraturan ini tidak diguna pakai untuk situasi lain di lapangan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal (seperti pokok kaktus).
16.2b

Pelepasan Keadaan Haiwan Berbahaya

Bila terdapat gangguan keadaan haiwan berbahaya: (1) Bila Bola Berada di Mana-mana Tempat Kecuali Kawasan Penalti. Pemain boleh mengambil pelepasan di bawah Peraturan 16.1b,c atau d bergantung sama ada bola berada di kawasan umum, dalam bunker atau di grin. (2) Bila Bola Berada dalam Kawasan Penalti. Pemain boleh mengambil pelepasan percuma atau pelepasan penalti:
  • Pelepasan Percuma: Bermain dari Dalam Kawasan Penalti. Pemain boleh mengambil pelepasan percuma di bawah Peraturan 16.1b, kecuali titik pelepasan penuh terdekat dan kawasan pelepasan mesti berada dalam kawasan penalti tersebut.
  • Pelepasan Penalti: Bermain dari Luar Kawasan Penalti.
    • Pemain boleh mengambil pelepasan penalti di bawah Peraturan 17.1d.
    • Jika terdapat gangguan keadaan haiwan berbahaya di tempat bola akan dimainkan selepas mengambil pelepasan penalti ini di luar kawasan penalti, pemain boleh mengambil pelepasan selanjutnya di bawah (1) tanpa penalti tambahan.
(3) Tiada Pelepasan Apabila Jelas Tidak Munasabah. Tiada pelepasan percuma di bawah Peraturan 16.2b:
  • Apabila bermain bola di kedudukannya jelas tidak munasabah disebabkan oleh sesuatu benda yang tidak membenarkan pemain mengambil pelepasan percuma (seperti apabila pemain tidak boleh melakukan pukulan disebabkan bola berada dalam semak).
  • Apabila gangguan wujud hanya kerana pemain memilih klab, jenis posisi sedia atau ayunan atau arah permainan yang jelas tidak munasabah dalam keadaan tersebut.
Untuk tujuan Peraturan ini, titik pelepasan penuh terdekat bermaksud titik terdekat (tidak lebih dekat dengan lubang) serta tiada lagi keadaan haiwan berbahaya. Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 16.2: Penalti Umum di Bawah Peraturan 14.7a.
16.3

Bola Terbenam

16.3a

Bila Pelepasan Dibenarkan

(1) Bola Mesti Terbenam dalam Kawasan Umum. Pelepasan dibenarkan di bawah Peraturan 16.3b hanya apabila bola pemain terbenam dalam kawasan umum.
  • Tiada pelepasan di bawah Peraturan ini jika bola terbenam di mana-mana tempat kecuali dalam kawasan umum.
  • Tetapi jika bola terbenam di grin, pemain boleh menanda tempat bola dan mengangkat dan membersihkan bola tersebut, membaiki kerosakan akibat hentaman bola, dan meletakkan semula bola tersebut di tempat asalnya (lihat Peraturan 13.1c(2)).
Pengecualian – Bila Pelepasan Tidak Dibenarkan untuk Bola Terbenam di Kawasan umum: Tiada pelepasan di bawah Peraturan 16.3b:
  • Apabila bola terbenam dalam pasir sebahagian daripada kawasan umum yang rumput tidak dipotong separas atau kurang daripada ketinggian fairway, atau
  • Apabila bermain bola di kedudukan jelas tidak munasabah disebabkan oleh sesuatu benda yang tidak membenarkan pemain mengambil pelepasan percuma (seperti apabila pemain tidak boleh melakukan pukulan disebabkan bola berada dalam semak).
(2) Menentukan Sama Ada Bola Terbenam. Bola pemain terbenam hanya jika:
  • Bola berada di dalam lekuknya sendiri akibat pukulan pemain yang dilakukan sebelumnya, dan
  • Sebahagian daripada bola berada di bawah permukaan tanah.
Jika pemain tidak pasti sama ada bola berada di dalam lekuknya sendiri atau lekuk bola pemain lain, pemain boleh menganggap bola tersebut sebagai telah terbenam jika wajar disimpulkan daripada maklumat sedia ada bahawa bola tersebut berada di dalam lekuknya sendiri. Bola tidak terbenam jika berada di bawah permukaan tanah disebabkan oleh benda lain selain pukulan pemain yang dilakukan sebelumnya, seperti apabila:
  • Bola ditekan ke dalam tanah oleh mana-mana individu dengan memijaknya,
  • Bola dipukul masuk terus ke dalam tanah tanpa melalui ruang udara, atau
  • Bola dijatuhkan semasa mengambil pelepasan di bawah Peraturan.

16.3b

Pelepasan Bola Terbenam

Apabila bola pemain terbenam dalam kawasan umum dan pelepasan dibenarkan di bawah Peraturan 16.3a, pemain boleh mengambil pelepasan dengan menjatuhkan bola asal atau bola lain dalam kawasan pelepasan ini (lihat Peraturan 14.3):
  • Titik Rujukan: Tempat dalam kawasan umum betul-betul di belakang tempat bola terbenam.
  • Saiz Kawasan Pelepasan Diukur dari Titik Rujukan: Satu panjang klab, tetapi dengan had yang berikut:
  • Had Tempat Kawasan Pelepasan:
    • Mesti dalam kawasan umum, dan
    • Mesti tidak lebih dekat lubang dari titik rujukan tersebut.
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8; Model Peraturan Tempatan F-2 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan membenarkan pelepasan hanya untuk bola terbenam di kawasan dipotong separas atau kurang daripada ketinggian fairway). Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 16.3: Penalti Umum di Bawah Peraturan 14.7a.
16.4

Mengangkat Bola untuk Memeriksa Jika Bola Berada dalam Keadaan Membenarkan Pelepasan

Jika pemain percaya bola mereka berada dalam keadaan yang membenarkan pelepasan percuma di bawah Peraturan 15.2, 16.1 atau 16.3, tetapi tidak boleh memutuskan demikian tanpa mengangkat bola:
  • Pemain boleh mengangkat bola untuk memeriksa jika pelepasan dibenarkan, tetapi:
  • Tempat bola tersebut mesti ditandakan terlebih dahulu, dan bola yang diangkatkan tidak boleh dibersihkan (kecuali di grin)(lihat Peraturan 14.1).
Jika pemain mengangkat bola tanpa kepercayaan wajar ini (kecuali di grin yang membolehkan pemain mengangkat bola di bawah Peraturan 13.1b), mereka dikenakan satu pukulan penalti. Jika pelepasan dibenarkan dan pemain mengambil pelepasan tersebut, tiada penalti walaupun pemain tidak menandakan tempat bola sebelum mengangkatnya atau membersihkan bola yang telah diangkatkan. Jika pelepasan tidak dibenarkan, atau jika pemain memilih untuk tidak mengambil pelepasan yang dibenarkan:
  • Pemain dikenakan satu pukulan penalti jika mereka tidak menandakan tempat bola sebelum mengangkatnya atau membersihkan bola yang diangkatkan apabila tidak dibenarkan, dan
  • Bola tersebut mesti diletakkan semula di tempat asal (lihat Peraturan 14.2).
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 16.4: Penalti Umum di Bawah Peraturan 14.7a.
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya