Prosedur Bola: Menanda, Mengangkat dan Membersihkan; Meletakkan Semula di Tempatnya; Menjatuhkan dalam Kawasan Pelepasan; Bermain dari Tempat Salah
Tujuan Peraturan: Peraturan 14 merangkumi bila dan bagaimana pemain boleh menandakan tempat bola tetap berada dan mengangkat dan membersihkan bola dan bagaimana untuk memasukkan semula bola ke dalam permainan supaya bola tersebut dimainkan dari tempat yang betul.
Apabila bola yang diangkatkan atau dialihkan akan diletakkan semula, bola yang sama mesti diletakkan di tempat asal.
Apabila mengambil pelepasan percuma atau pelepasan penalti, bola yang digantikan atau bola asal mesti dijatuhkan di dalam kawasan pelepasan tertentu.
Kesalahan menggunakan prosedur ini boleh dibetulkan tanpa penalti sebelum bola dimainkan, tetapi pemain dikenakan penalti jika mereka bermain bola dari tempat salah.
14
Prosedur Bola: Menanda, Mengangkat dan Membersihkan; Meletakkan Semula di Tempatnya; Menjatuhkan dalam Kawasan Pelepasan; Bermain dari Tempat Salah
14.1
Menanda, Mengangkat dan Membersihkan Bola
Peraturan ini diguna pakai untuk bola tetap pemain yang “diangkatkan” dengan sengaja. Hal ini boleh dilakukan dengan apa-apa cara, termasuk mengangkat bola dengan tangan, memusingkan atau dengan sengaja menyebabkan bola beralih dari tempatnya.
14.1a
Tempat Bola Diangkatkan dan Diletakkan Semula Mesti Ditanda
Sebelum mengangkat bola di bawah Peraturan yang menghendaki bola diletakkan semula di tempat asal, pemain mesti menandakan tempat tersebut dengan maksud untuk:
Meletakkan penanda bola betul-betul di belakang atau betul-betul di sebelah bola tersebut, atau
Meletakkan klab di atas tanah betul-betul di belakang atau betul-betul di sebelah bola tersebut.
Jika tempat tersebut ditandakan dengan penanda bola, selepas meletakkan semula bola pemain mesti mengalihkan penanda bola tersebut sebelum melakukan pukulan.Jika pemain mengangkat bola tanpa menandakan tempatnya, menandakan tempat bola dengan cara salah atau melakukan pukulan ketika penanda bola masih berada di tempatnya, pemain tersebut dikenakan satu pukulan penalti.Apabila bola diangkat untuk mengambil pelepasan di bawah Peraturan, pemain tidak dikehendaki untuk menandakan tempat bola tersebut sebelum mengangkatkannya.
14.1b
Siapa Boleh Mengangkat Bola
Bola pemain boleh diangkat di bawah Peraturan hanya oleh:
Pemain tersebut, atau
Individu yang dibenarkan oleh pemain, tetapi kebenaran tersebut mesti diberikan setiap kali sebelum bola diangkatkan dan tidak diberikan secara umum untuk pusingan tersebut.
Pengecualian – Bila Kedi Boleh Mengangkat Bola Pemain Tanpa Kebenaran:Kedi boleh mengangkat bola pemain tanpa kebenaran apabila:
Bola pemain berada di grin, atau
Wajar untuk disimpulkan (seperti daripada tindakan atau kenyataan) bahawa pemain akan mengambil pelepasan di bawah Peraturan.
Jika kedi mengangkat bola apabila tidak dibenarkan untuk berbuat demikian, pemain dikenakan satu pukulan penalti (lihat Peraturan 9.4).Lihat Peraturan 25.2g, 25.4a dan 25.5d(untuk pemain OKU tertentu, Peraturan 14.1b diubahsuaikan untuk membenarkan pembantu untuk mengangkat bola pemain di grin tanpa kebenaran).
14.1c
Membersihkan Bola
Bola yang diangkatkan dari grin sentiasa boleh dibersihkan (lihat Peraturan 13.1b).Bola yang diangkat dari mana-mana tempat sentiasa boleh dibersihkan kecuali apabila bola tersebut diangkatkan:
Untuk Memeriksa Jika Koyak atau Pecah. Bola tidak dibenarkan dibersihkan (lihat Peraturan 4.2c(1)).
Untuk Mengenal Pasti. Bola dibenarkan dibersihkan hanya untuk keperluan mengenal pasti (lihat Peraturan 7.3).
Kerana Mengganggu Permainan. Bola tidak dibenarkan dibersihkan (lihat Peraturan 15.3b(2)).
Untuk Memeriksa Jika Bola Berada dalam Keadaan yang Membenarkan Pelepasan. Bola tidak dibenarkan dibersihkan, kecuali pemain kemudiannya mengambil pelepasan di bawah Peraturan (lihat Peraturan 16.4).
Jika pemain membersihkan bola mereka apabila tidak dibenarkan di bawah Peraturan ini, mereka dikenakan satu pukulan penaltidan mesti meletakkan semula bola jika bola tersebut telah diangkatkan.Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
14.2
Meletakkan Semula Bola di Tempatnya
Peraturan ini diguna pakai apabila bola diangkatkan atau dialihkan dan Peraturan menghendaki bola tersebut diletakkan semula di suatu tempat.
14.2a
Bola Asal Mesti Digunakan
Bola asal mesti digunakan apabila meletakkan semula bola.Pengecualian – Bola Lain Boleh Digunakan Apabila:
Bola asal tidak boleh diambil semula dengan usaha wajar dan dalam beberapa saat, asalkan pemain tidak sengaja menyebabkan bola tersebut tidak boleh diambilkan semula,
Permainan disambung semula selepas dihentikan (lihat Peraturan 5.7d), atau
Bola asal telah dimainkan oleh pemain lain sebagai bola salah (lihat Peraturan 6.3c(2)).
14.2b
Siapa Mesti Meletakkan Semula Bola dan Bagaimana Bola Mesti Diletakkan Semula
(1) Siapa Mesti Meletakkan Semula Bola. Bola pemain mesti diletakkan semula di bawah Peraturan hanya oleh:
Pemain, atau
Individu yang telah mengangkat bola atau menyebabkan bola tersebut beralih
Jika pemain bermain bola yang telah diletakkan semula oleh individu yang tidak dibenarkan, pemain dikenakan satu pukulan penalti.Lihat Peraturan 25.2h, 25.3c dan 25.4a (untuk pemain OKU tertentu, Peraturan 14.2b diubahsuaikan untuk memberikan kebenaran umum kepada mana-mana individu lain meletakkan atau meletakkan semula bola pemain)(2) Bagaimana Bola Mesti Diletakkan Semula. Bola mesti diletakkan semula dengan tangan di tempat yang dikehendaki dan dilepaskan supaya berada tetap di tempat itu.Jika pemain bermain bola yang telah diletakkan semula dengan cara salah tetapi di tempat yang dikehendaki, pemain dikenakan satu pukulan penalti.
14.2c
Tempat Bola Diletakkan Semula
Bola mesti diletakkan semula di tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan), kecuali apabila bola tersebut mesti diletakkan semula di tempat yang berlainan di bawah Peraturan 14.2d(2) dan 14.2e atau apabila pemain akan mengambil pelepasan di bawah Peraturan.Jika bola berada tetap di atas, di bawah atau bersandar pada apa-apa halangan tidak boleh alih, objek integral, objek sempadan atau benda semula jadi yang tumbuh atau melekat:
“Tempat” bola termasuk lokasi menegak dibandingkan dengan permukaan tanah.
Hal ini bermaksud bola mesti diletakkan semula di tempat asal di atas, di bawah atau bersandar pada objek tersebut.
Jika apa-apa rintangan terlerai telah dialihkan disebabkan oleh bola yang telah diangkatkan atau dialihkan atau sebelum bola diletakkan semula, rintangan terlerai tersebut tidak perlu diletakkan semula.Untuk sekatan mengalihkan rintangan terlerai sebelum meletakkan semula bola yang telah diangkatkan atau dialihkan lihat Pengecualian 1 Peraturan 15.1a.
14.2d
Tempat Bola Diletakkan Semula Bila Kedudukan Asal Berubah
Jika kedudukan bola yang telah diangkatkan atau dialihkan yang mesti diletakkan semula telah diubahkan, pemain mesti meletakkan semula bola tersebut dengan cara yang berikut:(1) Bola dalam Pasir. Apabila bola berada dalam pasir, sama ada dalam bunker atau mana-mana tempat di lapangan:
Semasa meletakkan semula bola di tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2c), pemain mesti mewujudkan kedudukan asal sebaik mungkin.
Semasa mewujudkan kedudukan tersebut, pemain boleh mendedahkan sebahagian kecil daripada permukaan bola supaya boleh dilihat jika bola tersebut telah dilitupi pasir.
Jika pemain bermain dari tempat yang betul tetapi gagal mewujudkan kedudukan melanggar Peraturan ini, pemain tersebut dikenakan penalti umum. (2) Bola Berada di Mana-Mana Tempat Kecuali dalam Pasir. Apabila bola berada di mana-mana tempat kecuali dalam pasir, pemain mesti meletakkan semula bola di tempat terdekat dengan kedudukan yang seakan-akan sama dengan kedudukan asal yang:
Dalam lingkungan satu panjang klab dari tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2c),
Tidak lebih dekat lubang, dan
Dalam kawasan lapangan yang sama dengan tempat itu.
Jika pemain mengetahui kedudukan asal telah diubahkan tetapi tidak mengetahui keadaan kedudukan sebelum itu, pemain mesti menganggarkan kedudukan asal tersebut dan meletakkan semula bola di bawah (1) atau (2).Pengecualian – Untuk Kedudukan yang Berubah Ketika Permainan Dihentikan Dan Bola Telah Diangkatkan, lihat Peraturan 5.7d.
14.2e
Apa Patut Dilakukan Jika Bola Diletakkan Semula Tetapi Tidak Tetap Di Tempat Asal
Jika pemain cuba untuk meletakkan semula bola tetapi bola tersebut tidak tetap di tempat asal, pemain mesti mencuba untuk kali kedua.Jika bola masih lagi tidak tetap di tempat itu, pemain mesti meletakkan semula bola dengan meletakkannya di tempat terdekat bola tersebut akan tetap, tetapi had tersebut bergantung kepada tempat asal berada:
Tempat tersebut tidak boleh lebih dekat lubang.
Tempat Asal dalam Kawasan Umum. Tempat terdekat tersebut mesti dalam kawasan umum.
Tempat Asal dalam Bunker atau Kawasan Penalti. Tempat terdekat mesti berada sama ada dalam bunker yang sama atau dalam kawasan penalti yang sama.
Tempat Asal di Grin. Tempat terdekat mesti berada di grin atau dalam kawasan umum.
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 14.2: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a.Lihat Peraturan 22.2 (dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
14.3
Menjatuhkan Bola Dalam Kawasan Pelepasan
Peraturan ini diguna pakai apabila pemain mesti menjatuhkan bola semasa mengambil pelepasan di bawah Peraturan, termasuk apabila pemain mesti menyempurnakan mengambil pelepasan dengan meletakkan bola di bawah Peraturan 14.3c(2).Jika pemain menambah baik kawasan pelepasan sebelum atau semasa menjatuhkan bola, lihat Peraturan 8.1.
14.3a
Bola Asal Atau Bola Lain Boleh Digunakan
Pemain boleh menggunakan bola asal atau bola lain.Hal ini bermaksud pemain boleh menggunakan mana-mana bola setiap kali mereka menjatuhkan atau meletakkan bola di bawah Peraturan ini.
14.3b
Bola Mesti Dijatuhkan Dengan Cara Betul
Pemain mesti menjatuhkan bola dengan cara betul, yang bermaksud mematuhi semua syarat dalam (1), (2) dan (3):(1) Pemain Mesti Menjatuhkan Bola. Bola mesti dijatuhkan hanya oleh pemain. Kedi atau individu lain tidak boleh melakukannya.Lihat Peraturan 25.2h, 25.3c dan 25.4a (untuk pemain OKU tertentu, pengubahsuaian Peraturan 14.3b (1) membenarkan pemain untuk memberikan kebenaran umum kepada individu lain menjatuhkan bola pemain).(2) Bola Mesti Dijatuhkan Lurus ke Bawah dari Paras Lutut Tanpa Menyentuh Pemain atau Peralatan. Pemain mesti melepaskan bola dari ketinggian paras lutut supaya bola tersebut:
Jatuh lurus ke bawah, tanpa dibaling, diputar atau digolek oleh pemain atau menggunakan apa-apa pergerakan lain yang boleh mempengaruhi tempat bola tersebut akan menetap, dan
Tidak menyentuh mana-mana bahagian badan atau peralatan pemain sebelum bola tersebut menyentuh tanah.
“Ketinggian lutut” bermaksud ketinggian lutut pemain tersebut dalam keadaan berdiri.Lihat Peraturan 25.6b(panduan mengguna pakai Peraturan 14.3b(2) untuk pemain OKU tertentu).
GAMBAR RAJAH 14.3b: MENJATUHKAN BOLA DARI KETINGGIAN LUTUT
Bola mesti dijatuhkan dari ketinggian lutut. “Ketinggian lutut” bermaksud ketinggian lutut pemain dalam keadaan berdiri. Tetapi pemain tidak perlu berada dalam keadaan berdiri apabila bola dijatuhkan.
(3) Bola Mesti Dijatuhkan Dalam Kawasan Pelepasan (atau Atas Garisan. Bola mesti dijatuhkan dalam kawasan pelepasan. Pemain boleh berdiri sama ada di dalam atau di luar kawasan pelepasan apabila menjatuhkan bola tersebut. Tetapi apabila mengambil pelepasan sepanjang atas garisan belakang (lihat Peraturan 16.1c(2), 17.1d(2), 19.2b dan 19.3b), bola mesti dijatuhkan di atas garisan di tempat yang dibenarkan oleh Peraturan itu, dan tempat bola tersebut dijatuhkan mewujudkan kawasan pelepasan.(4) Apa Patut Dilakukan Jika Bola Dijatuhkan dengan Cara Salah. Jika bola dijatuhkan dengan cara salah melanggar satu atau lebih daripada syarat dalam (1), (2) atau (3):
Pemain mesti menjatuhkan bola sekali lagi dengan cara betul, dan tiada had bilangan jatuhan yang mesti dilakukan oleh pemain.
Bola yang dijatuhkan dengan cara salah tidak dikira sebagai salah satu daripada dua jatuhan yang dikehendaki sebelum bola mesti diletakkan di bawah Peraturan 14.3c(2).
Jika pemain tidak menjatuhkan bola sekali lagi dan sebaliknya melakukan pukulan pada bola dari tempat bola tersebut menetap selepas dijatuhkan dengan cara salah:
Jika bola dimainkan dari kawasan pelepasan, pemain dikenakansatu pukulan penalti (tetapi tidak bermain dari tempat salah di bawah Peraturan 14.7a).
Tetapi jika bola dimainkan dari luar kawasan pelepasan, atau selepas bola itu diletakkan apabila dikehendaki dijatuhkan (tidak mengira tempat bola tersebut telah dimainkan), pemain dikenakan penalti umum.
14.3c
Bola Dijatuhkan Dengan Cara Betul Mesti Menetap Dalam Kawasan Pelepasan
Peraturan ini diguna pakai hanya apabila bola dijatuhkan dengan cara betul di bawah Peraturan 14.3b.(1)Pemain Telah Selesai Mengambil Pelepasan Apabila Bola Dijatuhkan dengan Cara Betul Menetap Dalam Kawasan Pelepasan. Bola mesti menetap dalam kawasan pelepasan.Hal ini tidak kira sama ada bola tersebut, selepas terkena tanah, menyentuh mana-mana individu (termasuk pemain), peralatan atau pengaruh luar lain sebelum bola itu menetap:
Jika bola tersebut menetap dalam kawasan pelepasan, pemain telah selesai mengambil pelepasan dan bola mesti dimainkan di kedudukannya.
Jika bola tersebut menetap di luar kawasan pelepasan, pemain mesti menggunakan prosedur dalam Peraturan 14.3c(2).
Dalam mana-mana kes, tiada penalti dikenakan kepada mana-mana pemain jika bola yang dijatuhkan dengan cara betul dengan tidak sengaja terkena mana-mana individu (termasuk pemain tersebut), peralatan atau pengaruh luar lain sebelum bola menetap.Pengecualian – Apabila Bola Dijatuhkan Dengan Cara Betul Dengan Sengaja Dipesongkan atau Dihentikan oleh Mana-mana Individu: Untuk apa yang patut dilakukan apabila bola yang dijatuhkan dengan sengaja dipesongkan atau dihentikan oleh mana-mana individu sebelum bola tersebut menetap, lihat Peraturan 14.3d.(2) Apa Patut Dilakukan Apabila Bola Dijatuhkan dengan Cara Betul Menetap di Luar Kawasan Pelepasan. Jika bola tersebut menetap di luar kawasan pelepasan, pemain mesti menjatuhkan bola dengan cara betul untuk kali kedua.Jika bola itu juga menetap di luar kawasan pelepasan, pemain mesti kemudiannya menyempurnakan pengambilan pelepasan dengan meletakkan bola dengan menggunakan prosedur untuk meletakkan semula bola dalam Peraturan 14.2b(2) dan 14.2e:
Pemain mesti meletakkan bola di tempat bola yang dijatuhkan untuk kali kedua menyentuh tanah.
Jika bola yang diletakkan tidak tetap di tempat itu, pemain mesti meletakkan bola di tempat itu untuk kali kedua.
Jika bola yang diletakkan untuk kali kedua masih juga tidak tetap di tempat itu, pemain mesti meletakkan bola di tempat yang berdekatan yang membolehkan bola berada tetap, bergantung kepada had dalam Peraturan 14.2e. Hal ini mungkin akan mengakibatkan bola diletakkan di luar kawasan pelepasan tersebut.
GAMBAR RAJAH #1 14.3c BOLA MESTI DIJATUHKAN DAN MENETAP DALAM KAWASAN PELEPASAN
Apa Patut Dilakukan Jika Bola Dijatuhkan dengan Cara Betul Dipesongkan atau Dihentikan Dengan Sengaja Oleh Individu
Untuk tujuan Peraturan ini, bola yang dijatuhkan “dipesongkan atau dihentikan dengan sengaja” apabila:
Individu dengan sengaja menyentuh bola dalam pergerakan selepas bola tersebut menyentuh tanah, atau
Bola dalam pergerakan melanggar peralatan atau objek lain atau mana-mana individu (seperti kedi pemain) yang sengaja ditempatkan atau diletakkan di tempat tertentu supaya peralatan, objek atau individu tersebut akan memesongkan atau menghentikan bola dalam pergerakan.
Apabila bola yang dijatuhkan dengan cara betul dipesongkan atau dihentikan dengan sengaja oleh individu (sama ada di dalam atau di luar kawasan pelepasan) sebelum bola tersebut tetap:
Pemain mesti menjatuhkan bola sekali lagi, dengan menggunakan prosedur dalam Peraturan 14.3b (bermaksud bahawa bola yang telah dipesongkan atau dihentikan dengan sengaja tersebut tidak dikira sebagai salah satu daripada dua jatuhan yang dikehendaki sebelum bola mesti diletakkan di bawah Peraturan 14.3c(2).
Jika bola tersebut telah dipesongkan atau dihentikan dengan sengaja oleh mana-mana pemain atau kedi mereka, pemain itu dikenakan penalti umum.
Pengecualian – Apabila Tiada Peluang Munasabah Untuk Bola Menetap Dalam Kawasan Pelepasan: Jika bola yang dijatuhkan dengan cara betul dipesongkan atau dihentikan dengan sengaja (sama ada di dalam atau di luar kawasan pelepasan) apabila tiada peluang munasabah bola tersebut akan menetap dalam kawasan pelepasan:
Tiada penalti kepada mana-mana pemain, dan
Bola yang dijatuhkan tersebut dianggap sebagai menetap di luar kawasan pelepasan and dikira sebagai salah satu daripada dua bilangan jatuhan yang dikehendaki sebelum bola diletakkan di bawah Peraturan 14.3c(2).
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah atau Bermain Bola yang Diletakkan Bukan Dijatuhkan Melanggar Peraturan 14.3: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a.Lihat Peraturan 22.2(dalam Empatan, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut dianggap sebagai tindakan pemain); 23.5 (dalam Empat Bola, mana-mana pemain rakan boleh bertindak untuk regu dan tindakan pemain rakan tersebut yang melibatkan bola atau peralatan pemain dianggap sebagai tindakan pemain).
14.4
Bila Bola Pemain Masuk Semula Ke Dalam Permainan Selepas Bola Asal Tidak Lagi Dalam Permainan
Apabila bola dalam permainan pemain diangkatkan daripada lapangan atau hilang atau di luar sempadan, bola tersebut tidak lagi dalam permainan.Pemain mempunyai bola dalam permainan semula hanya apabila:
Pemain tersebut bermain bola asal atau bola lain dari kawasan ti, atau
Bola asal atau bola lain diletakkan semula, dijatuhkan atau diletakkan di lapangan dengan niat bola itu masuk ke dalam permainan.
Jika bola dimasukkan ke lapangan dengan apa-apa cara dengan niat supaya bola tersebut masuk ke dalam permainan, bola tersebut dalam permainan walaupun:
Telah menggantikan bola asal apabila tidak dibenarkan di bawah Peraturan, atau
Telah diletakkan semula, dijatuhkan atau diletakkan (1) di tempat salah, (2) dengan cara salah atau (3) dengan menggunakan prosedur yang tidak diguna pakai.
Bola yang diletakkan semula berada dalam permainan walaupun penanda bola yang menandakan tempatnya masih tidak dialihkan.
14.5
Membetulkan Kesalahan Semasa Menggantikan, Meletakkan Semula, Menjatuhkan atau Meletakkan Bola
14.5a
Pemain Boleh Membetulkan Kesalahan Sebelum Bola Dimainkan
Apabila pemain telah menggantikan bola asal dengan bola lain apabila tidak dibenarkan di bawah Peraturan atau bola dalam permainan pemain diletakkan semula, dijatuhkan atau diletakkan (1) dengan cara salah, (2) di tempat salah atau (3) dengan menggunakan prosedur yang tidak diguna pakai:
Pemain boleh membetulkan kesalahan tersebut tanpa penalti.
Tetapi hal ini dibenarkan hanya sebelum bola tersebut dimainkan.
14.5b
Bila Pemain Boleh Menukar Peraturan atau Pilihan Pelepasan Lain Apabila Membetulkan Kesalahan semasa Mengambil Pelepasan
Apabila membetulkan kesalahan semasa mengambil pelepasan, sama ada pemain mesti menggunakan Peraturan dan pilihan pelepasan yang sama yang digunakan pada asalnya atau boleh menukar kepada Peraturan atau pilihan pelepasan lain bergantung kepada sifat kesalahan tersebut:(1) Apabila Bola Dimasukkan ke Dalam Permainan di Bawah Peraturan Yang Diguna Pakai dan Telah Dijatuhkan atau Diletakkan di Tempat Betul, tetapi Peraturan Menghendaki Bola Dijatuhkan atau Diletakkan Sekali Lagi.
Untuk membetulkan kesalahan ini, pemain mesti terus mengambil pelepasan dengan menggunakan Peraturan dan pilihan pelepasan yang sama di bawah Peraturan itu.
Sebagai contoh, jika semasa mengambil pelepasan untuk bola tidak boleh dimainkan, pemain menggunakan pilihan pelepasan lateral (Peraturan 19.2c) dan bola tersebut telah dijatuhkan dalam kawasan pelepasan yang betul tetapi (1) telah dijatuhkandengan cara salah (lihat Peraturan 14.3b) atau (2) menetap di luar kawasan pelepasan (lihat Peraturan 14.3c), untuk membetulkan kesalahan tersebut pemain mesti terus mengambil pelepasan di bawah Peraturan 19.2 dan mesti menggunakan pilihan pelepasan yang sama (pelepasan lateral di bawah Peraturan 19.2).
(2) Apabila Bola Dimasukkan ke Dalam Permainan di Bawah Peraturan yang Diguna Pakai tetapi Bola Telah Dijatuhkan atau Diletakkan di Tempat Salah.
Untuk membetulkan kesalahan ini , pemain mesti terus mengambil pelepasan di bawah Peraturan yang sama tetapi boleh menggunakan apa-apa pilihan pelepasan di bawah Peraturan itu yang diguna pakai untuk situasi mereka.
Sebagai contoh, jika semasa mengambil pelepasan untuk bola tidak boleh dimainkan, pemain telah menggunakan pilihan pelepasan lateral (Peraturan 19.2c) dan tersalah menjatuhkan bola di luar kawasan pelepasan yang dikehendaki, untuk membetulkan kesalahan tersebut pemain mesti meneruskan permainan dengan mengambil pelepasan di bawah Peraturan 19.2 dan boleh menggunakan apa-apa pilihan pelepasan di bawah Peraturan itu.
(3) Apabila Bola Dimasukkan ke Dalam Permainan di Bawah Peraturan yang Tidak Diguna Pakai.
Untuk membetulkan kesalahan ini, pemain boleh menggunakan apa-apa Peraturan yang diguna pakai untuk situasi mereka.
Sebagai contoh, jika pemain tersalah mengambil pelepasan bola tidak boleh dimainkan untuk bola mereka di dalam kawasan penalti (yang tidak dibenarkan oleh Peraturan 19.1), pemain mesti membetulkan kesalahan tersebut sama ada dengan meletakkan semula bola tersebut (jika telah diangkatkan) di bawah Peraturan 9.4, atau mengambil pelepasan penalti di bawah Peraturan 17 dan boleh menggunakan apa-apa pilihan pelepasan di bawah Peraturan itu yang diguna pakai untuk situasi mereka.
14.5c
Tiada Penalti Untuk Tindakan yang Diambil Selepas Kesalahan Berkaitan dengan Bola Asal
Apabila pemain membetulkan kesalahan di bawah Peraturan 14.5a, apa-apa penalti untuk tindakan yang diambil selepas kesalahan tersebut dan berkaitan dengan bola asal, seperti dengan tidak sengaja menyebabkan bola beralih (lihat Peraturan 9.4b) atau kerana menambah baikkeadaan mempengaruhi pukulan untuk bola asal (lihat Peraturan 8.1a), tidak dikira.Tetapi jika tindakan yang sama juga adalah penalti untuk bola yang dimasukkan ke dalam permainan untuk membetulkan kesalahan tersebut (seperti apabila tindakan tersebut menambah baikkeadaan mempengaruhi pukulan untuk bola yang kini berada dalam permainan), penalti dikenakan untuk bola yang kini berada dalam permainan. Pengecualian – Penalti Kerana Dengan Sengaja Memesongkan atau Menghentikan Bola yang Dijatuhkan: Dalam permainan pukulan, jika pemain dikenakan penalti umum kerana dengan sengaja memesongkan atau menghentikan bola mereka yang dijatuhkan di bawah Peraturan 14.3d, pemain tersebut masih juga dikenakan penalti itu walaupun pemain menjatuhkan bola sekali lagi menggunakan prosedur dalam Peraturan 14.3b.
14.6
Melakukan Pukulan Berikutnya dari Tempat Pukulan Sebelumnya
Peraturan ini diguna pakai apabila pemain dikehendaki atau dibenarkan di bawah Peraturan untuk melakukan pukulan yang berikutnya dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan (seperti apabila mengambil pelepasan pukulan dan jarak, atau bermain sekali lagi selepas pukulan dibatalkan atau tidak dikira).
Cara pemain tersebut mesti memasukkan bola ke dalam permainan bergantung kepada kawasan lapangan tempat pukulan sebelumnya dilakukan.
Dalam semua situasi yang berikutnya, pemain boleh menggunakan sama ada bola asal atau bola lain.
14.6a
Pukulan Sebelumnya Dilakukan dari Kawasan Ti
Bola asal atau bola lain mesti dimainkan dari mana-mana tempat dalam kawasan ti tersebut (dan boleh diletakkan di atas ti) di bawah Peraturan 6.2b.
14.6b
Pukulan Sebelumnya Dilakukan Dari Kawasan Umum, Kawasan Penalti Atau Bunker
Bola asal atau bola lain mesti dijatuhkan dalam kawasan pelepasan ini (lihat Peraturan 14.3):
Titik Rujukan: Tempat pukulan sebelumnya dilakukan (jika tidak diketahui mesti dianggarkan).
Saiz Kawasan Pelepasan Diukur dari Titik Rujukan: Satu panjang klab, tetapi dengan had berikut:
Had Lokasi Kawasan Pelepasan:
Mesti berada dalam kawasan lapangan yang sama dengan titik rujukan, dan
Mesti tidak lebih dekat lubang dibandingkan dengan titik rujukan.
14.6c
Pukulan Sebelumnya Dilakukan dari Kawasan Ti
Bola asal atau bola lain mesti diletakkan di tempat pukulan sebelumnya dilakukan (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2), menggunakan prosedur meletakkan semula bola di bawah Peraturan 14.2b(2) dan 14.2.Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 14.6: Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a.
GAMBAR RAJAH 14.6 MELAKUKAN PUKULAN YANG BERIKUTNYA DARI TEMPAT PUKULAN SEBELUMNYA
Apabila pemain dikehendaki atau dibenarkan untuk melakukan pukulan berikutnya dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan, cara pemain mesti masukkan semula bola ke dalam permainan bergantung kepada kawasan lapangan tempat pukulan sebelumnya.
14.7
Bermain dari Tempat Salah
14.7a
Tempat Bola Mesti Dimainkan
Selepas memulakan suatu lubang:
Pemain mesti melakukan setiap pukulan dari tempat bola mereka menetap, kecuali apabila Peraturan menghendaki atau membenarkan pemain bermain bola dari tempat lain (lihat Peraturan 9.1).
Pemain mesti tidak bermain bola dalam permainan mereka dari tempat salah.
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 14.7a: Penalti Umum.
14.7b
Bagaimana Menamatkan Lubang Apabila Telah Bermain dari Tempat Salah dalam Permainan Pukulan
(1) Pemain Mesti Memutuskan Sama Ada Menamatkan Lubang dengan Bola Dimainkan dari Tempat Salah atau Membetulkan Kesalahan Bermain dari Tempat Betul. Tindakan yang dilakukan oleh pemain selanjutnya bergantung sama ada hal tersebut ialah kesalahan serius – iaitu, sama ada pemain mungkin telah mendapat kelebihan ketara kerana bermain dari tempat salah:
Kesalahan Tidak Serius. Pemain mesti menamatkan lubang dengan menggunakan bola yang dimainkan dari tempat salah, tanpa membetulkan kesalahan tersebut.
Kesalahan Serius.
Pemain mesti membetulkan kesalahan tersebut dengan menamatkan lubang dengan bermain bola dari tempat betul di bawah Peraturan.
Jika pemain tidak membetulkan kesalahan sebelum melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain atau, untuk lubang terakhir pusingan tersebut, sebelum menyerahkan kad skor mereka, penyertaan pemain tersebut dibatalkan.
Apa Patut Dilakukan Jika Tidak Pasti Sama Ada Kesalahan Serius. Pemain patut menamatkan lubang dengan kedua-dua bola yang telah dimainkan dari tempat salah dan bola kedua dari tempat betul di bawah Peraturan.
(2) Pemain Yang Bermain Dua Bola Mesti Melaporkannya kepada Jawatankuasa. Jika pemain tidak pasti sama ada bermain dari tempat salah ialah kesalahan serius dan memutuskan untuk bermain bola kedua semasa cuba untuk membetulkan kesalahan tersebut:
Pemain mesti melaporkan fakta tersebut kepada Jawatankuasa sebelum menyerahkan kad skor.
Hal ini diguna pakai walaupun pemain percaya mereka telah mendapat skor yang sama dengan kedua-dua bola sama seperti apabila pemain, setelah memutuskan untuk bermain bola kedua, memilih untuk tidak menamatkan lubang tersebut dengan kedua-dua bola.
Jika pemain tidak melaporkan fakta tersebut kepada Jawatankuasa, penyertaan merekadibatalkan.(3) Apabila Pemain Bermain Dua Bola, Jawatankuasa Akan Memutuskan Skor Pemain untuk Lubang. Skor pemain untuk lubang tersebut bergantung sama ada Jawatankuasa memutuskan terdapat kesalahan serius kerana bermain bola asal dari tempat salah:
Tiada Kesalahan Serius.
Skor dengan bola yang dimainkan dari tempat salah dikira, dan pemain dikenakan penalti umumdi bawah Peraturan 14.7a (bermaksud dua pukulan penaltidicampurkan kepada skor yang menggunakan bola itu).
Semua pukulan dengan bola lain (termasuk pukulan yang dan pukulan penalti semata-mata bermain bola itu) tidak dikira.
Kesalahan Serius.
Skor dengan bola yang dimainkan untuk membetulkan kesalahan bermain dari tempat salah dikira, dan pemain dikenakan penalti umumdi bawah Peraturan 14.7a (bermaksud dua pukulan penaltidicampurkan kepada skor yang menggunakan bola itu).
Pukulan yang dilakukan dengan bermain bola asal dari tempat salah dan apa-apa pukulan dengan bola itu (termasuk pukulan dan pukulan penalti semata-mata bermain bola itu) tidak dikira.
Jika bola dimainkan untuk membetulkan kesalahan juga telah dimainkan dari tempat salah:
Jika Jawatankuasa memutuskan bahawa ia bukan kesalahan serius, pemain dikenakan penalti umum (tambahan dua pukulan penalti lagi) di bawah Peraturan 14.7a menjadikan jumlah empat pukulan penaltiyang dicampurkan kepada skor dengan bola itu (dua kerana bermain bola asal dari tempat salah dan dua kerana bermain bola lain dari tempat salah).
Jika Jawatankuasa memutuskan bahawa hal ini ialah kesalahan serius, penyertaan pemain tersebut dibatalkan.
Tujuan Peraturan: Peraturan 4 merangkumi peralatan yang boleh digunakan oleh pemain dalam suatu pusingan. Berdasarkan pada prinsip golf adalah suatu p...
Tujuan Peraturan: Peraturan 5 merangkumi cara bermain sesuatu pusingan – seperti tempat dan masa pemain boleh berlatih di lapangan sebelum atau semasa...
Tujuan Peraturan: Peraturan 6 merangkumi cara untuk bermain suatu lubang – seperti Peraturan spesifik pukulan ti untuk memulakan sesuatu lubang, keper...
Tujuan Peraturan: Peraturan 8 merangkumi prinsip asas permainan golf “bermain lapangan seperti sedia ada”. Apabila bola pemain berada dalam keadaan te...
Tujuan Peraturan: Peraturan 10 merangkumi persediaan dan melakukan pukulan, termasuk nasihat dan bantuan lain yang boleh diterima oleh pemain daripada...
Tujuan Peraturan: Peraturan 11 merangkumi apa yang patut dilakukan jika bola dalam pergerakan pemain melanggar individu, haiwan, peralatan atau benda ...
Tujuan Peraturan: Peraturan 12 adalah peraturan spesifik untuk bunker, iaitu kawasan yang disediakan khas untuk menguji kebolehan pemain bermain bola ...
Tujuan Peraturan: Peraturan 13 adalah Peraturan spesifik untuk grin. Grin disediakan khas untuk bermain bola di permukaan tanah dan terdapat tiang ben...
Tujuan Peraturan: Peraturan 16 merangkumi masa dan cara pemain boleh mengambil pelepasan percuma dengan bermain bola dari tempat yang berlainan, seper...
Tujuan Peraturan: Peraturan 17 adalah Peraturan spesifik untuk kawasan penalti, iaitu badan air atau kawasan lain yang ditetapkan oleh Jawatankuasa ya...
Tujuan Peraturan: Peraturan 18 merangkumi pengambilan pelepasan di bawah penalti pukulan dan jarak. Apabila bola hilang di luar kawasan penalti atau m...
Tujuan Peraturan: Peraturan 19 merangkumi beberapa pilihan pelepasan untuk bola tidak boleh dimainkan. Hal ini membenarkan pemain memilih pilihan yang...
Tujuan Peraturan: Peraturan 20 merangkumi perkara yang patut dilakukan oleh pemain apabila mereka mempunyai persoalan mengenai Peraturan semasa sesuat...
Tujuan Peraturan: Peraturan 21 merangkumi empat format permainan individu, termasuk tiga format permainan pukulan yang pengiraan skor berbeza daripada...
Tujuan Peraturan: Peraturan 22 merangkumi Empatan (dimainkan sama ada dalam permainan lawan atau perlawanan pukulan), iaitu dua pemain rakan bertandin...
Tujuan Peraturan: Peraturan 23 merangkumi Empat Bola (dimainkan sama ada dalam permainan lawan atau permainan pukulan), iaitu pemain rakan bertanding ...
Tujuan Peraturan: Peraturan 24 merangkumi pertandingan berpasukan (dimainkan sama ada dalam permainan lawan atau permainan pukulan), iaitu beberapa pe...
Tujuan Peraturan: Peraturan 25 menyediakan pengubahsuaian kepada Peraturan Golf tertentu membenarkan pemain yang mempunyai keupayaan spesifik untuk be...