Seksyen Cetak
6
Bermain Suatu Lubang
Tujuan Peraturan: Peraturan 6 merangkumi cara untuk bermain suatu lubang – seperti Peraturan spesifik pukulan ti untuk memulakan sesuatu lubang, keperluan untuk menggunakan bola yang sama sepanjang suatu lubang kecuali apabila penggantian bola dibenarkan, giliran bermain (lebih penting dalam permainan lawan dibandingkan dengan permainan pukulan) dan menamatkan suatu lubang.
6
Bermain Suatu Lubang
6.1

Memulakan Permainan Suatu Lubang

6.1a

Bila Permainan Lubang Bermula

Pemain telah memulakan permainan lubang apabila mereka melakukan pukulan untuk memulakan lubang tersebut. Permainan lubang telah dimulakan walaupun pukulan telah dilakukan di luar kawasan ti (lihat Peraturan 6.1b) atau pukulan tersebut telah dibatalkan di bawah Peraturan.
6.1b

Bola Mesti Dimainkan dari Dalam Kawasan Ti

Pemain mesti memulakan setiap lubang dengan bermain bola dari mana-mana tempat di dalam kawasan ti di bawah Peraturan 6.2b. Jika pemain yang memulakan lubang bermain bola dari luar kawasan ti (termasuk dari penanda ti salah di lokasi ti yang berlainan untuk lubang yang sama atau lubang lain): (1) Permainan Lawan. Tiada penalti, tetapi pemain lawan boleh membatalkan pukulan tersebut:
  • Hal ini mesti dilakukan dengan segera dan sebelum mana-mana pemain melakukan pukulan lain. Apabila pemain lawan membatalkan pukulan, mereka tidak boleh menarik balik pembatalan tersebut.
  • Jika pemain lawan membatalkan pukulan tersebut, pemain mesti bermain bola dari dalam kawasan ti dan ia masih giliran mereka bermain.
  • Jika pemain lawan tidak membatalkan pukulan, pukulan tersebut dikira dan bola adalah dalam permainan dan mesti dimainkan di kedudukannya.
(2) Permainan Pukulan. Pemain dikenakan penalti umum (dua pukulan penalti) dan mesti membetulkan kesalahan tersebut dengan bermain bola dari dalam kawasan ti:
  • Bola yang dimainkan dari luar kawasan ti bukan dalam permainan.
  • Pukulan itu dan apa-apa lagi pukulan sebelum kesalahan itu dibetulkan (termasuk pukulan dan pukulan penalti semasa bermain bola itu) tidak dikira.
  • Jika pemain tidak membetulkan kesalahan tersebut sebelum melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain atau, untuk lubang terakhir untuk pusingan tersebut, sebelum menyerahkan kad skor mereka, penyertaan pemain dibatalkan.
6.2

Bermain Bola dari Kawasan Ti

6.2a

Bila Peraturan Kawasan Ti Diguna Pakai

Peraturan kawasan ti dalam Peraturan 6.2b diguna pakai apabila pemain dikehendaki atau dibenarkan untuk bermain bola dari kawasan ti. Hal ini termasuk apabila:
  • Pemain memulakan permainan suatu lubang (lihat Peraturan 6.1),
  • Pemain akan bermain lagi dari kawasan ti di bawah Peraturan (lihat Peraturan 14.6), atau
  • Bola pemain berada dalam permainan dalam kawasan ti selepas pukulan atau selepas pemain telah mengambil pelepasan.
Peraturan ini diguna pakai hanya untuk kawasan ti yang mesti dimainkan oleh pemain semasa memulakan lubang yang sedang dimainkan, bukan untuk lokasi ti lain di lapangan tersebut (sama ada untuk lubang yang sama atau lubang yang berlainan).
6.2b

Peraturan Kawasan Ti

(1) Bila Bola berada di Dalam Kawasan Ti.
  • Bola berada dalam kawasan ti apabila mana-mana bahagian bola bersentuh atau berada di atas mana-mana bahagian kawasan ti.
  • Pemain boleh berdiri di luar kawasan tiuntuk melakukan pukulan pada bola yang berada dalam kawasan ti.
(2) Bola Boleh Diletakkan di Atas Ti atau Dimainkan di Tanah. Bola mesti dimainkan sama ada dari:
  • Ti yang dipacakkan ke dalam atau di tanah, atau
  • Di tanah.
Untuk tujuan Peraturan ini, “tanah” termasuk pasir atau bahan semula jadi lain yang diletakkan untuk memacakkan ti atau meletakkan bola. Pemain mesti tidak melakukan pukulan pada bola yang diletakkan di atas ti yang tidak mematuhi syarat atau meletakkan bola dengan cara yang tidak dibenarkan oleh Peraturan ini. Penalti Melanggar Peraturan 6.2b(2):
  • Penalti pelanggaran Peraturan pertama: Penalti Umum.
  • Penalti pelanggaran Peraturan kedua: Batal Penyertaan.
(3) Keadaan Tertentu dalam Kawasan Ti Boleh Ditambah Baik. Sebelum melakukan pukulan, pemain boleh mengambil tindakan berikut dalam kawasan ti untuk menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan (lihat Peraturan 8.1b(8)):
  • Mengubah permukaan tanah dalam kawasan ti (seperti membuat lekukan dengan menggunakan klab atau kaki),
  • Mengalihkan, membengkokkan atau mematahkan rumput, rumpai dan benda semula jadi lain yang melekat atau tumbuh di dalam tanah dalam kawasan ti,
  • Mengalihkan atau memijak pasir dan tanah dalam kawasan ti, dan
  • Mengesat embun, fros dan air dalam kawasan ti.
Tetapi pemain dikenakan penalti umum jika mereka mengambil apa-apa tindakan lain untuk menambah baik keadaan mempengaruhi pukulan yang melanggar Peraturan 8.1a. (4) Sekatan Mengalihkan Penanda Ti, atau Penanda Ti Hilang, Apabila Bermain dari Kawasan Ti.
  • Tempat penanda ti ditetapkan oleh Jawatankuasa untuk menetapkan setiap kawasan ti dan patut dikekalkan di tempat yang sama untuk semua pemain yang akan bermain dari kawasan ti itu.
  • Jika pemain menambah baik keadaaan mempengaruhi pukulan dengan mengalihkan mana-mana penanda ti sebelum melakukan pukulan dari kawasan ti, mereka dikenakan penalti umum kerana melanggar Peraturan 8.1a(1).
  • Jika pemain mendapati satu atau kedua dua penanda ti hilang, pemain patut meminta bantuan Jawatankuasa. Tetapi jika Jawatankuasa tidak dapat dihubungi dalam masa yang munasabah, pemain patut menggunakan pertimbangan (Peraturan 1.3b(2)) untuk menganggarkan tempat kawasan ti.  
Dalam semua situasi lain, penanda ti dianggap sebagai halangan boleh alih yang boleh dialihkan seperti dibenarkan dalam Peraturan 15.2. (5) Bola Bukan Dalam Permainan Sehingga Pukulan Dilakukan. Sama ada bola diletakkan di atas ti atau di tanah, apabila memulakan suatu lubang atau bermain semula dari kawasan ti di bawah Peraturan:
  • Bola bukan dalam permainan sehingga pemain melakukan pukulan pada bola tersebut, dan 
  • Bola boleh diangkat atau dialihkan tanpa penalti sebelum pukulan dilakukan.
Jika bola yang diletakkan di atas ti terjatuh atau dijatuhkan oleh pemain sebelum pemain melakukan pukulan, bola tersebut boleh diletakkan semula di atas ti di mana-mana tempat di dalam kawasan ti tersebut tanpa penalti. Tetapi jika pemain melakukan pukulan pada bola itu ketika bola sedang atau telah jatuh, hal ini tiada penalti, pukulan dikira dan bola tersebut adalah dalam permainan. (6) Bila Bola Dalam Permainan Berada dalam Kawasan Ti. Jika bola dalam permainan pemain berada dalam kawasan ti selepas pukulan (seperti bola yang terletak di atas ti selepas pukulan tersasar) atau selepas mengambil pelepasan, pemain boleh:
  • Mengangkat atau mengalihkan bola tersebut tanpa penalti (lihat Peraturan 9.4b, Pengecualian 1), dan
  • Bermain bola itu atau bola lain dari mana-mana tempat dalam kawasan ti dengan menggunakan ti atau di tanah di bawah (2), termasuk bermain bola di kedudukannya. 
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 6.2b(6): Penalti umum di Bawah Peraturan 14.7a.
6.3

Bola Digunakan semasa Bermain Lubang

Tujuan Peraturan: Suatu lubang dimainkan sebagai pukulan berturut-turut yang dilakukan dari kawasan ti sehingga memasukkan bola ke dalam lubang di grin. Selepas melakukan pukulan ti, pemain biasanya dikehendaki untuk bermain bola yang sama sehingga lubang tersebut ditamatkan. Pemain dikenakan penalti jika melakukan pukulan pada bola salah atau pada bola yang digantikan apabila penggantian tidak dibenarkan oleh Peraturan.
6.3a

Menamatkan Lubang dengan Bola yang Sama Dimainkan dari Kawasan Ti

Pemain boleh bermain apa-apa bola yang mematuhi syarat apabila memulakan sesuatu lubang dari kawasan ti dan boleh menukar bola antara dua lubang. Pemain mesti masuk lubang dengan bola yang sama dari kawasan ti, kecuali apabila:
  • Bola itu hilang atau menetap di luar sempadan, atau
  • Pemain menggantikan bola lain (sama ada di benarkan atau tidak untuk berbuat demikian).
Pemain patut meletakkan tanda pengenalan pada bola yang akan dimainkan (lihat Peraturan 7.2).
6.3b

Menggantikan Bola Lain Ketika Bermain Lubang

(1) Bila Pemain Dibenarkan dan Tidak Dibenarkan untuk Menggantikan Bola Lain. Peraturan tertentu membenarkan pemain untuk menukar bola yang mereka gunakan dengan menggantikan bola lain sebagai bola dalam permainan, dan yang lainnya tidak:
  • Apabila mengambil pelepasan di bawah Peraturan, termasuk apabila sama ada menjatuhkan atau meletakkan bola (seperti apabila bola tidak kekal dalam kawasan pelepasan atau apabila mengambil pelepasan di grin, pemain boleh menggunakan sama ada bola asal atau bola lain (Peraturan 14.3a),
  • Apabila bermain sekali lagi dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan, pemain boleh menggunakan sama ada bola asal atau bola lain (Peraturan 14.6), dan
  • Apabila meletakkan semula bola di tempatnya, pemain tidak dibenarkan untuk menggantikan bola dan mesti menggunakan bola asal, dengan pengecualian tertentu (Peraturan 14.2a).
(2) Bola yang Digantikan Menjadi Bola Dalam Permainan. Apabila pemain menggantikan bola lain sebagai bola dalam permainan (lihat Peraturan 14.4):
  • Bola asal tidak lagi berada dalam permainan, walaupun ia menetap di lapangan tersebut.
  • Hal ini benar walaupun pemain:
    • Menggantikan bola asal dengan bola lain apabila tidak dibenarkan oleh Peraturan (sama ada pemain menyedari mereka menggantikan bola lain atau tidak), atau
    • Meletakkan semula, menjatuhkan atau meletakkan bola yang digantikan (1) dengan cara salah, (2) di tempat salah , atau (3) dengan menggunakan prosedur yang tidak diguna pakai.
  • Cara untuk membetulkan apa-apa kesalahan sebelum bermain bola yang telah digantikan , lihat Peraturan 14.5.
Jika bola asal pemain belum dijumpai dan pemain telah memasukkan bola lain ke dalam permainan untuk mengambil pelepasan pukulan dan jarak (lihat Peraturan 17.1d, 18.1, 18.2b dan 19.2a) atau seperti yang dibenarkan di bawah Peraturan yang diguna pakai apabila diketahui atau kelihatan pasti apa yang telah berlaku kepada bola tersebut (lihat Peraturan 6.3c, 9.6, 11.2c, 15.2b, 16.1e dan 17.1c):
  • Pemain mesti meneruskan permainan dengan bola yang telah digantikan, dan
  • Pemain mesti tidak bermain bola asal walaupun bola asal dijumpai di lapangan sebelum berakhir tempoh tiga minit masa carian (lihat Peraturan 18.2a(1)).
(3) Melakukan Pukulan pada Bola yang Diganti Dengan Tidak Betul. Jika pemain melakukan pukulan pada bola yang digantikan dengan tidak betul, pemain dikenakan satu pukulan penalti dan mesti menamatkan lubang dengan bola yang digantikan dengan tidak betul tersebut.
6.3c

Bola Salah

(1) Melakukan Pukulan Bola Salah. Pemain mesti tidak melakukan pukulan pada bola salah. Pengecualian – Bola Bergerak Dalam Air: Tiada penalti jika pemain melakukan pukulan pada bola salah yang sedang bergerak dalam air di kawasan penalti atau dalam air sementara:
  • Pukulan tersebut tidak dikira, dan
  • Pemain mesti membetulkan kesalahan di bawah Peraturan dengan bermain bola yang betul dari tempat asal atau dengan mengambil pelepasan di bawah Peraturan.
Penalti Bermain Bola Salah Melanggar Peraturan 6.3c(1). Dalam permainan lawan, pemain dikenakan penalti umum (kalah lubang):
  • Jika pemain dan pemain lawan bermain menggunakan bola milik pemain lain semasa bermain sesuatu lubang, pemain pertama melakukan pukulan pada bola salah dikenakan penalti umum (kalah lubang).
  • Tetapi jika tidak diketahui bola salah yang telah dimainkan terlebih dahulu, tiada penalti dan lubang tersebut mesti dimainkan dengan menggunakan bola yang telah tertukar.
Dalam permainan pukulan, pemain dikenakan penalti umum (dua pukulan penalti) dan mesti membetulkan kesalahan tersebut dengan meneruskan permainan dengan menggunakan bola asal di kedudukannya atau mengambil pelepasan di bawah Peraturan:
  • Pukulan yang dilakukan pada bola salah dan apa-apa pukulan lain sebelum kesalahan tersebut dibetulkan (termasuk pukulan dan pukulan penalti semasa bermain bola itu) tidak dikira.
  • Jika pemain tidak membetulkan kesalahan tersebut sebelum melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain atau, untuk lubang terakhir pusingan tersebut, sebelum menyerahkan kad skor, penyertaan pemain dibatalkan.
(2) Apa Patut Dilakukan Apabila Bola Pemain Dimainkan oleh Pemain Lain sebagai Bola Salah. Jika diketahui atau kelihatan pasti bahawa bola pemain telah dimainkan oleh pemain lain sebagai bola salah, pemain mesti meletakkan semula bola asal atau bola lain di tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2). Hal ini diguna pakai sama ada bola asal telah dijumpai atau tidak.
6.3d

Bila Pemain Boleh Bermain Lebih Daripada Satu Bola Pada Satu Masa

Pemain Boleh Bermain Lebih Daripada Satu Bola Pada Satu Masa:
  • Bermain bola sementara (sama ada menjadi bola dalam permainan atau diabaikan, seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan 18.3c), atau
  • Bermain dua bola dalam permainan pukulan untuk membetulkan kemungkinan berlakunya kesalahan serius semasa bermain dari tempat salah (lihat Peraturan 14.7b) atau apabila tidak pasti untuk menggunakan prosedur yang betul (lihat Peraturan 20.1c(3)).
6.4

Giliran Bermain Apabila Bermain Lubang

Tujuan Peraturan: Peraturan 6.4 merangkumi giliran bermain sepanjang lubang. Giliran bermain dari kawasan ti bergantung kepada individu yang mendapat penghormatan, dan selepas itu berdasarkan pada bola yang lebih jauh dari lubang.
  • Dalam permainan lawan, giliran bermain ialah perkara asas; jika pemain bermain tidak mengikut giliran, lawan boleh membatalkan pukulan itu dan meminta pemain melakukan pukulan sekali lagi.
  • Dalam permainan pukulan, tiada penalti kerana bermain tidak mengikut giliran, dan pemain dibenarkan dan digalakkan untuk bermain “golf siap sedia” – iaitu, bermain tidak mengikut giliran dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab.
6.4a

Permainan Lawan

(1) Giliran Bermain. Pemain dan pemain lawan mesti bermain mengikut giliran seperti berikut:
  • Memulakan Lubang Pertama. Pada lubang pertama, penghormatan diputuskan melalui susunan jadual yang ditetapkan oleh Jawatankuasa atau, jika tiada jadual, dengan persetujuan atau menggunakan kaedah rawak (seperti lambungan duit syiling).
  • Memulakan Semua Lubang Lain.
    • Pemain yang menang suatu lubang diberikan penghormatan di kawasan ti yang berikutnya.
    • Jika lubang tersebut seri, pemain yang diberikan penghormatan pada kawasan ti sebelumnya mengekalkan penghormatan.
    • Jika pemain meminta suatu keputusan Peraturan tepat pada masanya (lihat Peraturan 20.1b) yang masih belum diputuskan oleh Jawatankuasa dan mungkin mempengaruhi penghormatan pada lubang yang berikutnya, penghormatan diputuskan dengan persetujuan atau menggunakan kaedah rawak.
  • Selepas Kedua-dua Pemain Memulakan Lubang.
    • Bola yang berada lebih jauh dari lubang akan dimainkan terlebih dahulu.
    • Jika kedua-dua bola mempunyai jarak yang sama dari lubang atau jarak relatifnya tidak diketahui, bola yang akan dimainkan terlebih dahulu diputuskan dengan persetujuan atau menggunakan kaedah undian.
(2) Pemain Lawan Boleh Membatalkan Pukulan Pemain yang Dilakukan Tidak Mengikut Giliran. Jika pemain bermain pada giliran pemain lawan tiada penalti tetapi pemain lawan boleh membatalkan pukulan tersebut:
  • Hal ini mesti dilakukan dengan segera dan sebelum kedua-dua pemain melakukan pukulan lain. Apabila pemain lawan membatalkan pukulan, mereka tidak boleh menarik balik pembatalan tersebut.
  • Jika pemain lawan membatalkan pukulan, pemain mesti, apabila tiba giliran mereka bermain, bermain bola dari tempat pukulan itu dilakukan (lihat Peraturan 14.6).
  • Jika pemain lawan tidak membatalkan pukulan, pukulan itu dikira dan bola tersebut dalam permainan dan mesti dimainkan di kedudukannya.
Pengecualian – Bermain Tidak Mengikut Giliran dengan Persetujuan untuk Menjimatkan Masa: Untuk menjimatkan masa:
  • Pemain boleh mengundang pemain lawan untuk bermain tanpa mengikut giliran atau boleh bersetuju dengan permintaan pemain lawan  untuk bermain tidak mengikut giliran.
  • Jika pemain lawan kemudiannya melakukan pukulan tidak mengikut giliran, pemain telah melepaskan hak untuk membatalkan pukulan tersebut.
Lihat Peraturan 23.6 (giliran bermain dalam Empat Bola).
6.4b

Permainan Pukulan

(1) Giliran Bermain Biasa.
  • Memulakan Lubang Pertama. Penghormatan di kawasan ti yang pertama diputuskan oleh susunan jadual yang ditetapkan oleh Jawatankuasa atau, jika tiada jadual, dengan persetujuan atau menggunakan kaedah rawak (seperti melambung duit syiling).
  • Memulakan Semua Lubang Lain.
    • Pemain dalam kumpulan yang mempunyai skor gros terendah pada suatu lubang mempunyai penghormatan di kawasan ti yang berikutnya; pemain yang mempunyai skor gros kedua terendah patut bermain selepas itu; dan seterusnya.
    • Jika terdapat dua atau lebih pemain mempunyai skor yang sama di suatu lubang, mereka patut bermain mengikut giliran yang sama seperti di kawasan ti sebelumnya.
    • Penghormatan adalah berdasarkan pada skor gros, walaupun dalam pertandingan handikap.
  • Selepas Semua Pemain Memulakan Lubang.
    • Bola yang paling jauh dari lubang patut dimainkan terlebih dahulu.
    • Jika terdapat dua atau lebih bola yang mempunyai jarak yang sama dari lubang atau jarak relatifnya tidak diketahui, bola yang akan dimainkan terlebih dahulu patut diputuskan dengan persetujuan atau menggunakan kaedah rawak.
Tiada penalti jika pemain bermain tidak mengikut giliran, kecuali jika dua orang atau lebih pemain bersetuju bermain tidak mengikut giliran untuk memberikan kelebihan kepada salah seorang daripada mereka dan salah seorang daripada mereka bermain tidak mengikut giliran, setiap pemain yang membuat persetujuan  tersebut dikenakan penalti umum (dua pukulan penalti). (2) Bermain Tidak Mengikut Giliran dengan Cara Selamat dan Bertanggungjawab (“Golf Siap Sedia”). Pemain dibenarkan dan digalakkan untuk bermain tidak mengikut giliran dengan cara selamat dan bertanggungjawab, seperti apabila:
  • Dua orang atau lebih pemain bersetuju berbuat demikian untuk memudahkan atau menjimatkan masa,
  • Bola pemain menetap hampir dengan lubang dan pemain ingin masuk lubang, atau
  • Pemain bersedia dan boleh bermain sebelum pemain lain bermain di bawah giliran permainan biasa dalam (1), asalkan semasa bermain tidak mengikut giliran pemain tersebut tidak membahayakan, mengalih perhatian atau mengganggu pemain lain.
Tetapi jika pemain yang mempunyai giliran bermain dalam (1) telah bersedia dan boleh bermain dan memberi isyarat bahawa mereka hendak bermain terlebih dahulu, pemain lain secara amnya patut menunggu sehingga pemain itu telah bermain. Pemain patut tidak bermain tanpa mengikut giliran untuk mendapatkan kelebihan ke atas pemain lain.
6.4c

Bila Pemain Akan Bermain Bola Sementara atau Bola Lain dari Kawasan Ti

Giliran bermain dalam kes ini adalah untuk semua pemain lain dalam kumpulan melakukan pukulan pertama mereka di lubang tersebut terlebih dahulu sebelum pemain tersebut bermain bola sementara atau bola lain dari kawasan ti. Jika lebih daripada seorang pemain akan bermain bola sementara atau bola lain dari kawasan ti, giliran bermain adalah sama seperti sebelumnya. Untuk bola sementara atau bola lain yang dimainkan tidak mengikut giliran, lihat Peraturan 6.4a(2) dan 6.4b.
6.4d

Bila Pemain Mengambil Pelepasan atau Akan Bermain Bola Sementara dari Mana-mana Tempat kecuali Kawasan Ti

Giliran bermain di bawah Peraturan 6.4a(1) dan 6.4b(1) dalam kedua-dua kes ini ialah: (1) Mengambil Pelepasan untuk Bermain Bola dari Tempat Berlainan dari Kedudukannya.
  • Apabila Pemain Sedar Mereka Dikehendaki untuk Mengambil Pelepasan Pukulan dan Jarak. Giliran bermain pemain berdasarkan pada tempat pukulan sebelumnya dilakukan.
  • Apabila Pemain Mempunyai Pilihan untuk Bermain Bola di Kedudukannya atau Mengambil Pelepasan.
    • Giliran pemain bermain adalah berdasarkan pada tempat asal bola (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2).
    • Hal ini diguna pakai walaupun apabila pemain telah memutuskan untuk mengambil pelepasan pukulan dan jarak atau mengambil pelepasan untuk bermain dari tempat yang berlainan daripada kedudukan bola asal (seperti apabila bola asal berada dalam kawasan penalti atau akan dianggap sebagai tidak boleh dimainkan).
(2)Bermain Bola Sementara. Giliran bermain adalah pemain bermain bola sementara sebaik sahaja selepas melakukan pukulan sebelumnya dan sebelum pemain lain bermain bola, kecuali:
  • Apabila memulakan suatu lubang dari kawasan ti (lihat Peraturan 6.4c), atau
  • Apabila pemain menunggu sebelum memutuskan untuk bermain bola sementara (dalam kes giliran pemain bermain, sebaik sahaja pemain telah memutuskan untuk bermain bola sementara, berdasarkan pada tempat pukulan sebelumnya dilakukan). 
6.5

Menamatkan Permainan Lubang

Pemain telah menamatkan lubang:
  • Dalam permainan lawan, apabila:
    • Bola pemain telah masuk lubang atau pukulan pemain yang berikutnya telah diberikan kemenangan, atau
    • Keputusan lubang telah diputuskan (seperti apabila pemain lawan memberikan kemenangan lubang, skor pemain lawan untuk lubang tersebut lebih rendah daripada skor yang mungkin dilakukan oleh pemain atau pemain lawan dikenakan penalti umum (kalah lubang)).
  • Dalam permainan pukulan, apabila bola pemain masuk lubang di bawah Peraturan 3.3c.
Jika pemain tidak mengetahui bahawa mereka telah menamatkan lubang dan cuba untuk meneruskan permainan lubang tersebut, permainan pemain seterusnya tidak dianggap sebagai latihan dan mereka tidak dikenakan penalti bermain bola lain, termasuk bola salah. Lihat Peraturan 21.1b(1), 21.2b(1), 21.3b(1) dan 23.3c (bila pemain telah menamatkan lubang dalam format lain permainan pukulan atau dalam Empat Bola).
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya