Seksyen Cetak
20
Menyelesaikan Isu Peraturan Semasa Pusingan; Keputusan Pengadil dan Jawatankuasa
Tujuan Peraturan: Peraturan 20 merangkumi perkara yang patut dilakukan oleh pemain apabila mereka mempunyai persoalan mengenai Peraturan semasa sesuatu pusingan, termasuk prosedur (yang berbeza dalam permainan lawan dan permainan pukulan) yang membenarkan pemain melindungi hak untuk mendapatkan keputusan kemudiannya. Peraturan juga merangkumi peranan pengadil yang diberi kuasa untuk memutuskan fakta persoalan dan mengguna pakai Peraturan. Keputusan pengadil atau Jawatankuasa terikat kepada semua pemain.
20
Menyelesaikan Isu Peraturan Semasa Pusingan; Keputusan Pengadil dan Jawatankuasa
20.1

Menyelesaikan Isu Peraturan Semasa Pusingan

20.1a

Pemain Mesti Mengelak Melengahkan Permainan Tanpa Sebab

Pemain mesti tidak melengahkan permainan tanpa sebab apabila meminta bantuan Peraturan semasa pusingan:
  • Jika pengadil atau Jawatankuasa tiada dalam jangka waktu yang wajar untuk membantu isu berkenaan dengan Peraturan, pemain mesti memutuskan tindakan yang patut dilakukan dan meneruskan permainan.
  • Pemain boleh melindungi hak mereka dengan meminta keputusan dalam permainan lawan(lihat Peraturan 20.1b(2)) atau dengan bermain dua bola dalam permainan pukulan (lihat Peraturan 20.1c(3)).
20.1b

Isu Peraturan Dalam Permainan Lawan

(1) Memutuskan Isu dengan Persetujuan. Semasa suatu pusingan, pemain dalam sesuatu perlawanan boleh bersetuju memutuskan isu berkenaan Peraturan:
  • Hasil yang dipersetujui adalah muktamad walaupun keputusan tersebut ternyata salah di bawah Peraturan, asalkan pemain tidak bersetuju dengan sengaja mengabaikan Peraturan atau penalti yang mereka ketahui diguna pakai (lihat Peraturan 1.3b(1)).
  • Tetapi jika terdapat pengadil yang ditugaskan untuk perlawanan tersebut, pengadil mesti membuat keputusan ke atas isu yang memerlukan perhatiannya tepat pada masa (lihat Peraturan 20.1b(2)) dan pemain mesti mematuhi keputusan itu.
Semasa ketiadaan pengadil, jika pemain tidak bersetuju atau mempunyai keraguan cara Peraturan diguna pakai, mana-mana pemain boleh meminta keputusan di bawah Peraturan 20.1b(2). (2) Meminta Keputusan Dibuat Sebelum Keputusan Perlawanan Muktamad. Apabila pemain mahu pengadil atau Jawatankuasa memutuskan cara untuk mengguna pakai Peraturan dalam permainan mereka atau permainan pemain lawan, pemain boleh membuat permintaan untuk suatu keputusan. Jika pengadil atau Jawatankuasa tiada dalam jangka waktu yang wajar, pemain boleh membuat permintaan untuk sesuatu keputusan dengan memberitahu pemain lawan keputusan akan diperolehi kemudiannya apabila terdapat pengadil atau Jawatankuasa. Jika pemain membuat permintaan keputusan Peraturan sebelum keputusan perlawanan muktamad:
  • Keputusan akan diberikan hanya jika permintaan tersebut dilakukan tepat pada masanya dan bergantung kepada masa pemain menyedari mengenai fakta yang menyebabkan isu Peraturan:
    • Apabila Pemain Sedar Mengenai Fakta Sebelum Mana-Mana Pemain Memulakan Lubang Terakhir Perlawanan. Apabila pemain menyedari mengenai fakta tersebut, permintaan keputusan Peraturan mesti dilakukan sebelum mana-mana pemain melakukan pukulan memulakan lubang lain.
    • Apabila Pemain Sedar Mengenai Fakta Semasa atau Selepas Lubang Terakhir Perlawanan Tamat. Permintaan keputusan tersebut mesti dilakukan sebelum keputusan perlawanan muktamad (lihat Peraturan 3.2a(5)).
  • Jika pemain tidak membuat permintaan pada masa ini, keputusan tidak akan diberikan oleh pengadil atau Jawatankuasa dan keputusan lubang (atau lubang-lubang) yang dipersoalkan kekal walaupun Peraturan telah diguna pakai dengan salah.
Jika pemain meminta keputusan Peraturan untuk suatu lubang sebelumnya, keputusan akan diberikan hanya jika semua ketiga-tiga perkara berikut diguna pakai:
  • Pemain lawan telah melanggar Peraturan 3.2d(1) (memberi bilangan pukulan dilakukan yang salah) atau Peraturan 3.2d(2) (gagal memberitahu pemain mengenai penalti),
  • Permintaan tersebut berdasarkan pada fakta bahawa pemain tidak sedar sebelum mana-mana pemain melakukan pukulan untuk memulakan lubang yang sedang dimainkan atau, jika berada di antara dua lubang, lubang yang baru sahaja ditamatkan, dan
  • Selepas menyedari mengenai fakta tersebut, pemain meminta untuk suatu keputusan tepat pada masanya (seperti yang ditentukan di atas).
(3) Meminta Keputusan Selepas Keputusan Perlawanan Muktamad. Apabila pemain meminta keputusan selepas keputusan perlawanan muktamad:
  • Jawatankuasa akan memberikan keputusan kepada pemain hanya jika kedua-dua perkara berikut diguna pakai:
    • Permintaan tersebut berdasarkan pada fakta yang tidak disedari oleh pemain sebelum keputusan perlawanan muktamad, dan
    • Pemain lawan telah melanggar Peraturan 3.2d(1) (memberi bilangan pukulan salah) atau Peraturan 3.2d(2) (gagal memberitahu pemain mengenai penalti) dan mengetahui mengenai pelanggaran Peraturan sebelum keputusan perlawanan muktamad.
  • Tiada had masa untuk memberikan keputusan seperti itu.
(4) Tiada Hak Bermain Dua Bola. Pemain yang tidak pasti mengenai prosedur yang betul dalam sesuatu perlawanan tidak dibenarkan untuk meneruskan permainan lubang tersebut dengan menggunakan dua bola. Prosedur bermain dua bola diguna pakai hanya dalam permainan pukulan (lihat Peraturan 20.1c).
20.1c

Isu Peraturan Dalam Permainan Pukulan

(1) Tiada Hak Memutuskan Isu Peraturan Dengan Persetujuan. Jika pengadil atau Jawatankuasa tiada dalam jangka waktu yang wajar untuk membantu isu Peraturan:
  • Pemain digalakkan untuk membantu satu sama lain untuk mengguna pakai Peraturan, tetapi mereka tidak mempunyai hak untuk memutuskan isu Peraturan dengan bersetuju dan apa-apa persetujuan yang telah dicapai tidak terikat kepada mana-mana pemain, pengadil atau Jawatankuasa.
  • Pemain patut membangkitkan isu Peraturan kepada Jawatankuasa sebelum menyerahkan kad skor mereka.
(2) Pemain Patut Melindungi Pemain Lain Dalam Pertandingan. Untuk melindungi kepentingan semua pemain lain:
  • Jika pemain mengetahui atau mempercayai bahawa pemain lain telah melanggar atau mungkin akan melanggar Peraturan dan pemain lain itu tidak menyedari atau mengabaikannya, pemain patut memberitahu pemain lain tersebut, penanda skor pemain, pengadil atau Jawatankuasa.
  • Hal ini patut dilakukan dengan segera selepas pemain menyedari mengenai isu tersebut, sebelum pemain lain menyerahkan kad skor mereka kecuali mustahil untuk berbuat demikian.
Jika pemain gagal berbuat demikian, Jawatankuasa boleh membatalkan penyertaan pemain tersebut di bawah Peraturan 1.2a jika Jawatankuasa memutuskan bahawa hal ini ialah salah laku serius yang bertentangan dengan semangat permainan. (3) Bermain Dua Bola Apabila Tidak Pasti Apa Patut Dilakukan. Pemain yang tidak pasti mengenai prosedur yang betul ketika bermain sesuatu lubang boleh menamatkan lubang tersebut dengan dua bola tanpa penalti:
  • Pemain mesti memutuskan untuk bermain dua bola selepas situasi yang tidak pasti tersebut timbul dan sebelum melakukan pukulan.
  • Pemain patut memilih bola yang akan dikira jika Peraturan membenarkan prosedur yang digunakan untuk bola itu, dengan mengumumkan pilihan itu kepada penanda skor mereka atau kepada pemain lain sebelum melakukan pukulan.
  • Jika pemain tidak memilih tepat pada masanya, bola yang dimainkan terlebih dahulu akan terpilih secara automatik.
  • Pemain mesti melaporkan fakta situasi tersebut kepada Jawatankuasa sebelum menyerahkan kad skor, walaupun skor pemain adalah sama dengan kedua-dua bola. Penyertaan pemain akan dibatalkan jika gagal berbuat demikian.
  • Jika pemain melakukan pukulan sebelum memutuskan untuk bermain bola kedua:
    • Peraturan ini tidak diguna pakai sama sekali dan skor yang dikira adalah skor bola yang dimainkan sebelum pemain memutuskan untuk bermain bola kedua.
    • Tetapi pemain tidak dikenakan penalti kerana bermain bola kedua.
Bola kedua yang dimainkan di bawah Peraturan ini tidak sama dengan bola sementara di bawah Peraturan 18.3. (4) Keputusan Jawatankuasa untuk Skor Lubang. Apabila pemain bermain dua bola di bawah (3), Jawatankuasa akan memutuskan skor pemain untuk lubang tersebut dengan cara yang berikut:
  • Skor dengan bola yang dipilih (sama ada oleh pemain atau secara automatik) dikira jika Peraturan membenarkan prosedur tersebut digunakan untuk bola itu.
  • Jika Peraturan tidak membenarkan prosedur tersebut digunakan untuk bola itu, skor dengan bola lain yang dimainkan dikira jika Peraturan membenarkan prosedur tersebut digunakan untuk bola lain itu.
  • Jika Peraturan tidak membenarkan prosedur tersebut digunakan untuk kedua-dua bola, skor bola yang dipilih (sama ada oleh pemain atau secara automatik) dikira kecuali terdapat kesalahan serius semasa bermain bola itu dari tempat salah dan dalam kes ini skor bola lain tersebut dikira.
  • Jika terdapat kesalahan serius semasa bermain setiap bola dari tempat salah, penyertaan pemain akan dibatalkan.
  • Semua pukulan yang menggunakan bola yang tidak dikira (termasuk pukulan dilakukan dan apa-apa pukulan penalti semata-mata bermain bola itu) tidak dikira dalam skor pemain untuk lubang tersebut.
“Peraturan membenarkan prosedur tersebut digunakan” bermaksud sama ada: (a) bola asal dimainkan di kedudukannya dan permainan dibenarkan dari tempat itu, atau (b) bola tersebut dimainkan setelah dimasukkan ke dalam permainan di bawah prosedur yang betul, dengan cara yang betul dan di tempat yang betul di bawah Peraturan.
20.2

Keputusan Isu Peraturan

20.2a

Keputusan Pengadil

Pengadil adalah pegawai yang dilantik oleh Jawatankuasa memutuskan fakta persoalan dan mengguna pakai Peraturan. Pengadil boleh mendapatkan bantuan Jawatankuasa sebelum membuat sesuatu keputusan. Keputusan pengadil terhadap fakta atau cara Peraturan diguna pakai mesti dipatuhi oleh pemain. Pemain tidak mempunyai hak untuk merayu keputusan pengadil kepada Jawatankuasa, tetapi selepas keputusan dibuat, pengadil boleh:
  • Mendapatkan pandangan kedua daripada pengadil lain, atau
  • Merujuk sesuatu keputusan kepada Jawatankuasa untuk dinilai semula,
tetapi tidak dikehendaki untuk berbuat demikian. Keputusan pengadil adalah muktamad, jadi jika pengadil tersalah membenarkan pemain melanggar Peraturan, pemain tidak akan dikenakan penalti. Tetapi bila keputusan salah pengadil atau Jawatankuasa akan dibetulkan, lihat Peraturan 20.2d.
20.2b

Keputusan Jawatankuasa

Apabila tiada pengadil untuk memberikan keputusan atau apabila pengadil merujuk sesuatu keputusan kepada Jawatankuasa:
  • Keputusan akan diberikan oleh Jawatankuasa, dan
  • Keputusan Jawatankuasa adalah muktamad.
Jika Jawatankuasa tidak boleh mencapai apa-apa keputusan, Jawatankuasa boleh merujuk isu tersebut kepada Rules of Golf Committee of The R&A dan keputusan mereka adalah muktamad.
20.2c

Mengguna Pakai Standard “Mata Kasar” Apabila Menggunakan Bukti Video

Apabila Jawatankuasa memutuskan fakta persoalan semasa membuat keputusan, penggunaan bukti video adalah terhad kepada standard “mata kasar”:
  • Jika fakta yang ditunjukkan oleh video tidak dapat dilihat dengan jelas oleh mata kasar, bukti video itu akan diabaikan walaupun ia menunjukkan suatu pelanggaran Peraturan.
  • Tetapi walaupun bukti video diabaikan di bawah standard “mata kasar”, masih terdapat pelanggaran Peraturan jika pemain sedar tentang fakta yang membuktikan pelanggaran Peraturan (seperti pemain merasa klab menyentuh tanah dalam bunker walaupun hal itu tidak dapat dilihat oleh mata kasar).
20.2d

Keputusan Salah dan Kesalahan Pentadbiran

(1) Keputusan Salah. Suatu keputusan salah telah berlaku apabila pengadil atau Jawatankuasa telah cuba untuk mengguna pakai Peraturan tetapi telah berbuat demikian dengan tidak betul. Contoh keputusan salah adalah termasuk:
  • Mengenakan penalti salah atau gagal mengenakan penalti.
  • Mengguna pakai Peraturan yang tidak di guna pakai atau tidak wujud. Salah tafsir Peraturan dan
  • mengguna pakai Peraturan tersebut dengan tidak betul. 
Jika keputusan yang dibuat oleh pengadil atau Jawatankuasa kemudiannya diketahui salah, keputusan tersebut akan dibetulkan jika boleh di bawah Peraturan. Jika sudah terlalu lewat untuk berbuat demikian, keputusan salah tersebut dikekalkan. Jika pemain mengambil tindakan yang melanggar Peraturan berdasarkan pada salah faham di atas arahan pengadil atau Jawatankuasa semasa sesuatu pusingan atau ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a (seperti mengangkat bola dalam permainan apabila tidak dibenarkan di bawah Peraturan), hal ini tiada penalti dan arahan tersebut dianggap sama seperti keputusan salah. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 6C (apa Jawatankuasa patut lakukan apabila terdapat keputusan salah). (2) Kesalahan Pentadbiran. Kesalahan pentadbiran adalah kesalahan prosedur pentadbiran pertandingan dan tiada had masa untuk membetulkan kesalahan tersebut, walaupun keputusan perlawanan telah muktamad atau pertandingan permainan pukulan telah ditutup. Kesalahan pentadbiran adalah berbeza daripada keputusan salah. Contoh kesalahan pentadbiran termasuk:
  • Tersalah kira keputusan seri dalam permainan pukulan,
  • Tersalah kira handikap menyebabkan pemain salah memenangi pertandingan tersebut, dan
  • Menganugerahkan hadiah kepada pemain salah selepas gagal mempamerkan skor pemenang.
Dalam situasi di atas, kesalahan tersebut patut dibetulkan dan keputusan pertandingan patut dipinda sewajarnya.
20.2e

Membatalkan Penyertaan Pemain Selepas Keputusan Perlawanan atau Pertandingan Muktamad

(1) Permainan Lawan. Tiada had masa untuk membatalkan penyertaan pemain di bawah Peraturan 1.2 (salah laku serius) atau Peraturan 1.3b(1) (sengaja gagal untuk mengenakan penalti, atau bersetuju dengan pemain lain untuk mengabaikan Peraturan atau penalti yang mereka ketahui dikenakan). Hal ini boleh dilakukan walaupun selepas keputusan perlawanan muktamad (lihat Peraturan 3.2a(5)). Tentang bila Jawatankuasa akan memberikan keputusan apabila permintaan dibuat selepas keputusan perlawanan muktamad, lihat Peraturan 20.1b(3). (2) Permainan Pukulan. Biasanya, penalti mesti tidak ditambahkan atau dibetulkan selepas pertandingan permainan pukulan ditutup, iaitu:
  • Apabila keputusan dimuktamadkan seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa atau
  • Dalam kelayakan permainan pukulan yang diikuti oleh permainan lawan, apabila pemain telah membuat pukulan untuk memulakan perlawanan mereka yang pertama.
Tetapi penyertaan pemain mesti dibatalkan walaupun selepas pertandingan ditutup jika mereka:
  • Menyerahkan skor mana-mana lubang lebih rendah daripada yang telah dilakukan. Kecuali penyertaan pemain tersebut tidak dibatalkan jika skor rendah tersebut adalah tidak termasuk satu atau lebih pukulan penalti yang mereka tidak ketahui sebelum pertandingan ditutup (lihat Peraturan 3.3b(3)).
  • Mengetahui sebelum pertandingan ditutup bahawa mereka telah melanggar Peraturan lain yang dikenakan penalti batal penyertaan, atau
  • Bersetuju dengan pemain lain mengabaikan Peraturan atau penalti yang mereka diketahui diguna pakai (lihat Peraturan 1.3b(1)).
Jawatankuasa boleh juga membatalkan penyertaan pemain di bawah Peraturan 1.2 (salah laku serius) selepas pertandingan ditutup.
20.2f

Pemain Tidak Layak

Tiada had masa untuk membetulkan keputusan pertandingan apabila pemain yang bertanding diketahui tidak layak berdasarkan pada Terma Pertandingan. Hal ini diguna pakai walaupun selepas keputusan perlawanan muktamad atau selepas pertandingan permainan pukulan ditutup. Dalam keadaan begini, pemain tersebut dianggap telah tidak menyertai pertandingan, bukan dibatalkan penyertaan, dan keputusan pertandingan dipinda sewajarnya.
20.3

Situasi Tidak Dirangkumi Peraturan

Apa-apa situasi yang tidak dirangkumi oleh Peraturan patut diputuskan oleh Jawatankuasa:
  • Dengan menimbangkan semua keadaan, dan
  • Dengan menganggap situasi tersebut dengan wajar, adil dan konsisten dengan situasi serupa seperti yang dianggapkan di bawah Peraturan.
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya