Seksyen Cetak
18
Pelepasan Pukulan dan Jarak, Bola Hilang atau Di Luar Sempadan, Bola Sementara
Tujuan Peraturan: Peraturan 18 merangkumi pengambilan pelepasan di bawah penalti pukulan dan jarak. Apabila bola hilang di luar kawasan penalti atau menetap di luar sempadan, pergerakan bermain berturut-turut yang dikehendaki dari kawasan ti ke lubang telah berhenti; pemain mesti memulakan semula pergerakan berturut-turut itu dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan. Peraturan ini juga merangkumi bagaimana dan bila bola sementara boleh dimainkan untuk menjimatkan masa apabila bola dalam permainan mungkin berada di luar sempadan atau hilang di luar kawasan penalti.
18
Pelepasan Pukulan dan Jarak, Bola Hilang atau Di Luar Sempadan, Bola Sementara
18.1

Pelepasan di Bawah Penalti Pukulan dan Jarak Dibenarkan pada Bila-bila Masa

Pada bila-bila masa, pemain boleh mengambil pelepasan pukulan dan jarak dengan mencampurkan satu pukulan penalti dan bermain bola asal atau bola lain dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan (lihat Peraturan 14.6). Pemain sentiasa mempunyai pilihan pelepasan pukulan dan jarak ini:
  • Tidak kira tempat bola pemain berada di lapangan, dan
  • Walaupun apabila Peraturan menghendaki pemain mengambil pelepasan cara tertentu atau untuk bermain bola dari tempat tertentu.
Setelah pemain meletakkan bola lain ke dalam permainan di bawah penalti pukulan dan jarak (lihat Peraturan 14.4):
  • Bola asal tidak lagi dalam permainan dan mesti tidak dimainkan.
  • Hal ini benar walaupun bola asal kemudiannya dijumpai di lapangan tersebut sebelum masa carian tiga minit berakhir (lihat Peraturan 6.3b).
Tetapi hal ini tidak diguna pakai untuk bola yang dimainkan dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan apabila pemain tersebut:
  • Mengumumkan mereka sedang bermain bola sementara (lihat Peraturan 18.3b), atau
  • Sedang bermain bola kedua dalam permainan pukulan di bawah Peraturan 14.7b atau 20.1c(3).
18.2

Bola Hilang atau Di Luar Sempadan: Pelepasan Pukulan dan Jarak Mesti Diambilkan

18.2a

Bila Bola Hilang atau Di Luar Sempadan

(1) Bila Bola Hilang. Bola hilang apabila tidak dijumpai dalam masa tiga minit selepas pemain atau kedi mereka mula mencari bola tersebut. Jika bola dijumpai dalam masa itu tetapi tidak pasti sama ada bola tersebut adalah milik pemain:
  • Pemain mesti dengan segera mencuba untuk mengenal pasti bola tersebut (lihat Peraturan 7.2) dan dibenarkan masa yang munasabah untuk berbuat demikian, walaupun hal itu berlaku selepas masa carian tiga minit berakhir.
  • Hal ini termasuk masa yang munasabah untuk sampai ke tempat bola jika pemain tidak berada di tempat bola tersebut dijumpai.
Jika pemain tidak mengenal pasti bola mereka dalam masa yang munasabah itu, bola tersebut dianggap hilang. (2) Bila Bola Berada Di Luar Sempadan. Bola tetap berada di luar sempadan hanya apabila keseluruhan bola tersebut berada di luar had sempadan lapangan. Bola berada dalam sempadan apabila mana-mana bahagian bola:
  • Berada di atas atau menyentuh tanah atau apa-apa benda lain (seperti apa-apa benda semula jadi atau objek buatan) dalam had sempadan, atau
  • Di atas had sempadan atau mana-mana bahagian lapangan.
Pemain boleh berdiri di luar sempadan untuk bermain bola yang berada di lapangan.
18.2b

Apa Patut Dilakukan Apabila Bola Hilang atau Berada Di Luar Sempadan

Jika bola hilang atau berada di luar sempadan, pemain mesti mengambil pelepasan pukulan dan jarak dengan mencampurkan satu pukulan penalti dan bermain bola asal atau bola lain di tempat pukulan sebelumnya dilakukan (lihat Peraturan 14.6). Pengecualian – Pemain Boleh Menggantikan Bola Lain di Bawah Peraturan Lain Apabila Diketahui atau Kelihatan Pasti Apa Telah Berlaku kepada Bola: Selain daripada mengambil pelepasan pukulan dan jarak, pemain boleh menggantikan bola lain seperti yang dibenarkan di bawah Peraturan yang diguna pakai apabila bola mereka tidak dijumpai dan diketahui atau kelihatan pasti bahawa bola:
  • Menetap di lapangan dan telah dialihkan oleh pengaruh luar (lihat Peraturan 9.6) atau dimainkan sebagai bola salah oleh pemain lain (lihat Peraturan 6.3c(2)),
  • Menetap di lapangan di dalam atau di atas halangan boleh alih (lihat Peraturan 15.2b) atau keadaan lapangan tidak normal (lihat Peraturan 16.1e),
  • Berada dalam kawasan penalti (lihat Peraturan 17.1c), atau
  • Dengan sengaja telah dipesongkan atau dihentikan oleh mana-mana individu (lihat Peraturan 11.2c).
Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 18.2: Penalti Umum di Bawah Peraturan 14.7a.
18.3

Bola Sementara

18.3a

Bila Bola Sementara Dibenarkan

Jika bola mungkin hilang di luar kawasan penalti atau berada di luar sempadan, untuk menjimatkan masa pemain boleh bermain bola lain secara sementara di bawah penalti pukulan dan jarak (lihat Peraturan 14.6). Hal ini termasuk apabila:
  • Bola asal tidak dijumpai dan dikenal pasti dan masih belum hilang,
  • Bola mungkin hilang dalam kawasan penalti tetapi juga mungkin hilang di mana-mana tempat di lapangan tersebut, atau
  • Bola mungkin hilang dalam kawasan penalti tetapi mungkin juga berada di luar sempadan.
Jika pemain melakukan pukulan dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan dengan niat bermain bola sementara, tetapi bola sementara tidak dibenarkan, bola yang dimainkan tersebut adalah bola dalam permainan pemain di bawah penalti pukulan dan jarak (lihat Peraturan 18.1).  Jika bola sementara itu sendiri mungkin hilang di luar kawasan penalti atau berada di luar sempadan:
  • Pemain boleh bermain bola sementara lain.
  • Bola sementara itu kemudiannya mempunyai kaitan yang sama dengan bola sementara yang pertama, sepertimana bola sementara yang pertama berkait dengan bola asal.
18.3b

Mengumumkan Bermain Bola Sementara

Sebelum pukulan tersebut dilakukan, pemain mesti mengumumkan kepada mana-mana individu bahawa mereka akan bermain bola sementara:
  • Tidak memadai untuk pemain hanya berkata bahawa mereka akan bermain bola lain atau bermain sekali lagi.
  • Pemain mesti menggunakan perkataan “provisional” atau dengan jelas menunjukkan bahawa mereka sedang bermain bola sementara di bawah Peraturan 18.3.
Jika pemain tidak mengumumkan kepada mana-mana individu (walaupun mereka berniat untuk bermain bola sementara) dan bermain bola dari tempat pukulan sebelumnya dilakukan, bola itu adalah bola dalam permainan pemain di bawah penalti pukulan dan jarak (lihat Peraturan 18.1). Tetapi jika tiada sesiapa berhampiran untuk mendengar pengumuman pemain tersebut, pemain boleh memainkan bola sementara dan kemudian memberitahu seseorang tentang tindakannya apabila berkesempatan untuk berbuat demikian.
18.3c

Bermain Bola Sementara Sehingga Menjadi Bola Dalam Permainan atau Diabaikan

(1) Bermain Bola Sementara Lebih Daripada Sekali. Pemain boleh terus bermain bola sementara tanpa hilang status sebagai bola sementara asalkan bola dimainkan dari tempat yang mempunyai jarak yang sama atau lebih jauh dari lubang dibandingkan dengan tempat bola asal dianggarkan berada. Hal ini benar walaupun bola sementara tersebut dimainkan beberapa kali. Tetapi bola tersebut berhenti sebagai bola sementara apabila ia menjadi bola dalam permainan di bawah (2) atau diabaikan di bawah (3) dan oleh itu menjadi bola salah. (2) Bila Bola Sementara Menjadi Bola Dalam Permainan. Bola sementara tersebut menjadi bola dalam permainan pemain di bawah penalti pukulan dan jarak dalam mana-mana dua kes berikut:
  • Apabila Bola Asal Hilang di Mana-mana Tempat di Lapangan Kecuali dalam Kawasan Penalti atau Berada Di Luar Sempadan. Bola asal tidak lagi dalam permainan (walaupun bola tersebut kemudiannya dijumpai di lapangan sebelum masa carian tiga minit berakhir) dan kini merupakan bola salah yang mesti tidak dimainkan (lihat Peraturan 6.3c).
  • Apabila Bola Sementara Dimainkan Dari Tempat Lebih Dekat Lubang Dibandingkan dengan Tempat Bola Asal Dianggarkan Berada. Bola asal tidak lagi dalam permainan (walaupun bola tersebut kemudiannya dijumpai di lapangan sebelum masa carian tiga minit berakhir atau dijumpai lebih dekat lubang dibandingkan dengan tempat yang telah dianggarkan) dan kini merupakan bola salah yang mesti tidak dimainkan (lihat Peraturan 6.3c).
Jika pemain bermain bola sementara ke arah lokasi umum yang sama dengan bola asal dan tidak boleh mengenal pasti mana-mana bola tersebut:
  • Jika hanya salah satu daripada bola dijumpai di lapangan, bola itu diangggap sebagai bola sementara yang kini berada dalam permainan.
  • Jika kedua-dua bola dijumpai di lapangan, pemain mesti memilih salah satu daripada bola tersebut untuk dianggap sebagai bola sementara, yang kini berada dalam permainan, dan bola lain tersebut dianggap sebagai bola asal, yang bukan lagi dalam permainan, dan mesti tidak dimainkan.
Pengecualian – Pemain Boleh Menggantikan Bola Lain di Bawah Peraturan Lain Apabila Diketahui atau Kelihatan Pasti Apa yang Telah Berlaku kepada Bola: Pemain mempunyai pilihan tambahan apabila bola mereka tidak dijumpai dan diketahui atau kelihatan pasti bola tersebut:
  • Menetap di lapangan dan telah dialihkan oleh pengaruh luar (lihat Peraturan 9.6).
  • Menetap di lapangan dalam atau di atas halangan boleh alih (lihat Peraturan 15.2b) atau keadaan lapangan tidak normal (lihat Peraturan 16.1e), atau
  • Dengan sengaja telah dipesongkan atau dihentikan oleh mana-mana individu (lihat Peraturan 11.2c).
Apabila salah satu daripada Peraturan tersebut diguna pakai, pemain boleh sama ada:
  • Menggantikan bola lain seperti yang di benarkan di bawah Peraturan itu, atau
  • Menganggap bola sementara sebagai bola dalam permainan di bawah penalti pukulan dan jarak.
(3) Bila Bola Sementara Mesti Diabaikan. Apabila bola sementara belum lagi menjadi bola dalam permainan, ia mesti diabaikan dalam mana-mana dua kes yang berikut:
  • Apabila Bola Asal Dijumpai di Lapangan Di Luar Kawasan Penalti Sebelum Masa Carian Tiga Minit Berakhir. Pemain mesti bermain bola asal di kedudukannya.
  • Apabila Bola Asal Dijumpai Dalam Kawasan Penalti atau Diketahui atau Kelihatan Pasti Berada Dalam Kawasan Penalti. Pemain mesti sama ada bermain bola asal di kedudukannya atau mengambil pelepasan penalti di bawah Peraturan 17.1d.
Dalam mana-mana kes:
  • Pemain tidak boleh lagi melakukan apa-apa pukulan pada bola sementara yang kini ialah bola salah (lihat Peraturan 6.3c), dan
  • Semua pukulan pada bola sementara sebelum diabaikan (termasuk pukulan dan pukulan penalti bermain bola itu) tidak dikira.
Pemain boleh meminta individu lain untuk tidak mencari bola asal apabila pemain ingin meneruskan permainan dengan menggunakan bola sementara, tetapi tidak menjadi kewajipan individu lain mematuhinya.  Jika bola sementara tersebut masih belum menjadi bola dalam permainan dan bola yang berkemungkinan bola asal dijumpai, pemain mesti mengambil semua usaha wajar untuk mengenal pasti bola tersebut. Jika pemain gagal berbuat demikian, Jawatankuasa boleh membatalkan penyertaan pemain di bawah Peraturan 1.2a jika Jawatankuasa memutuskan bahawa hal ini ialah salah laku serius yang bertentangan dengan semangat permainan.
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya