Seksyen Cetak
21
Format Lain Permainan Pukulan dan Permainan Lawan Secara Individu
Tujuan Peraturan: Peraturan 21 merangkumi empat format permainan individu, termasuk tiga format permainan pukulan yang pengiraan skor berbeza daripada permainan pukulan biasa: Stableford (skor pengiraan mata yang diberikan pada setiap lubang); Skor Maksimum (skor setiap lubang dihadkan kepada had maksimum); dan Par/Bogi (skor permainan lawan digunakan berdasarkan pada lubang ke lubang).
21
Format Lain Permainan Pukulan dan Permainan Lawan Secara Individu
21.1

Stableford

21.1a

Gambaran Keseluruhan Stableford

Stableford adalah format permainan pukulan apabila:
  • Skor pemain atau regu untuk suatu lubang berdasarkan pada bilangan mata yang diberikan dengan membandingkan bilangan pukulan pemain atau regu untuk sesuatu lubang (termasuk pukulan dan pukulan penalti) dengan skor yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa untuk lubang tersebut, dan
  • Pertandingan dimenangi oleh pemain atau regu yang menamatkan semua pusingan dengan jumlah mata terbanyak.
Peraturan untuk permainan pukulan dalam Peraturan 1-20 diguna pakai, seperti yang telah diubahsuaikan oleh Peraturan spesifik ini. Peraturan 21.1 dibuat untuk:
  • Pertandingan sekata, tetapi boleh diterima pakai untuk pertandingan handikap, dan
  • Permainan individu, tetapi boleh diterima pakai untuk pertandingan yang melibatkanpemain rakan, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 22 (Empatan) and 23 (Empat Bola), dan untuk pertandingan berpasukan, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 24.
21.1b

Pengiraan Skor Stableford

(1) Bagaimana Mata Diberikan. Mata akan diberikan kepada pemain untuk setiap lubang dengan membandingkan skor pemain dengan skor sasaran yang ditetapkan untuk lubang tersebut, iaitu par kecuali Jawatankuasa menentukan skor sasaran yang berlainan:
Lubang yang DimainkanMata
Lebih daripada satu skor sasaran atau tiada skor diserahkan0
Satu di atas skor sasaran1
Skor sasaran2
Satu di bawah skor sasaran3
Dua di bawah skor sasaran4
Tiga di bawah skor sasaran5
Empat di bawah skor sasaran6
Pemain yang tidak menamatkan lubang di bawah Peraturan atas apa-apa sebab akan mendapat mata sifar pada lubang tersebut. Untuk membantu kadar permainan, pemain digalakkan berhenti bermain sesuatu lubang apabila skor mereka akan memberikan mata sifar. Lubang tersebut tamat apabila bola pemain masuk lubang, memilih untuk tidak berbuat demikian atau apabila skor mereka memberikan mata sifar. (2) Skor Diisikan untuk Setiap Lubang. Untuk mematuhi syarat Peraturan 3.3b dengan mengisikan skor lubang pada kad skor:
  • Jika Lubang Ditamatkan dengan Memasukkan Bola ke Dalam Lubang.
    • Apabila Skor Menghasilkan Mata. Kad skor mesti menunjukkan skor tersebut.
    • Apabila Skor Menghasilkan Mata Sifar. Kad skor mesti menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang menghasilkan mata sifar.
  • Jika Lubang Ditamatkan Tanpa Memasukkan Bola ke Dalam Lubang. Jika bola pemain tidak masuk lubang di bawah Peraturan, kad skor tersebut mesti menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang menghasilkan mata sifar.
Jawatankuasa bertanggungjawab untuk mengira mata yang diterima oleh pemain untuk setiap lubang dan, dalam pertandingan handikap, mengguna pakai pukulan handikap untuk skor yang diisikan pada setiap lubang sebelum mengira bilangan mata. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5A(5) (Terma Pertandingan boleh menggalakkan tetapi tidak menghendaki pemain mengisikan mata yang diberikan pada setiap lubang pada kad skor).
21.1c

Penalti dalam Stableford

Semua penalti yang diguna pakai dalam permainan pukulan diguna pakai dalam Stableford, kecuali  pemain yang melanggar salah satu daripada lima Peraturan berikut tidak dibatalkan penyertaan tetapi memperolehi mata sifar pada lubang pelanggaran Peraturan tersebut berlaku:
  • Gagal masuk lubang di bawah Peraturan 3.3c,
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain dari luar kawasan ti semasa memulakan sesuatu lubang (lihat Peraturan 6.1b(2)),
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain bola salah (lihat Peraturan 6.3c),
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain dari tempat salah apabila berlaku kesalahan serius (lihat Peraturan 14.7b), atau
  • Gagal membetulkan kesalahan melakukan pukulan tidak mengikut giliran (lihat Peraturan 22.3). 
Jika pemain melanggar apa-apa Peraturan lain yang mengenakan penalti batal penyertaan, penyertaan pemain tersebut dibatalkan. Selepas mengenakan apa-apa pukulan penalti, skor Stableford pemain untuk sesuatu lubang tidak boleh lebih rendah daripada mata sifar.
21.1d

Pengecualian Peraturan 11.2 dalam Stableford

Peraturan 11.2 tidak diguna pakai dalam situasi ini: Jika bola dalam pergerakan pemain perlu masuk lubang untuk memperolehi satu mata pada lubang tersebut dan mana-mana individu dengan sengaja memesongkan dan menghentikan bola apabila tiada peluang yang munasabah bola tersebut boleh masuk lubang, tiada penalti untuk individu itu dan pemain memperolehi mata sifar pada lubang tersebut.
21.1e

Bila Pusingan Tamat dalam Stableford

Pusingan pemain tamat apabila pemain:
  • Masuk lubang pada lubang terakhir mereka (termasuk membetulkan kesalahan, seperti di bawah Peraturan 6.1 atau 14.7b), atau
  • Memilih untuk tidak masuk lubang pada lubang terakhir atau setelah tidak boleh lagi memperolehi lebih daripada mata sifar untuk lubang tersebut.
21.2

Skor Maksimum

21.2a

Gambaran Keseluruhan Stableford

Skor maksimum adalah suatu format permainan pukulan apabila skor pemain atau regu untuk sesuatu lubang dihadkan kepada bilangan pukulan maksimum oleh Jawatankuasa, seperti dua kali par, sesuatu bilangan pukulan tetap atau bogi dua net. Peraturan untuk permainan pukulan dalam Peraturan 1-20 diguna pakai, seperti yang telah diubahsuaikan oleh Peraturan spesifik ini. Peraturan 21.2 dibuat untuk:
  • Pertandingan sekata, tetapi boleh diterima pakai untuk pertandingan handikap, dan
  • Permainan individu, tetapi boleh diterima pakai untuk pertandingan yang melibatkan pemain rakan, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 22 (Empatan) dan Peraturan 23 (Empat Bola), dan pertandingan berpasukan, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 24.
21.2b

Pengiraan Skor dalam Skor Maksimum

(1) Skor Pemain pada Lubang. Skor pemain untuk sesuatu lubang berdasarkan pada bilangan pukulan pemain (termasuk pukulan dan pukulan penalti), kecuali pemain hanya mendapat skor maksimum walaupun skor sebenar melebihi had maksimum. Pemain yang tidak masuk lubang di bawah Peraturan atas apa-apa sebab mendapat skor maksimum untuk lubang tersebut. Untuk membantu kadar permainan, pemain digalakkan untuk berhenti daripada bermain sesuatu lubang apabila skor mereka telah mencapai had maksimum. Lubang telah ditamatkan apabila pemain telah masuk lubang, memilih untuk tidak berbuat demikian atau apabila skor mereka telah mencapai had maksimum. (2) Skor Diisikan untuk Setiap Lubang. Untuk mematuhi syarat Peraturan 3.3b dengan mengisikan skor lubang pada kad skor:
  • Jika Lubang Ditamatkan dengan Memasukkan Bola ke Dalam Lubang.
    • Apabila Skor Lebih Rendah Daripada Skor Maksimum. Kad skor mesti menunjukkan skor sebenar.
    • Apabila Skor Sama atau Lebih Tinggi Daripada Skor Maksimum. Kad skor mesti menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang sama atau lebih daripada skor maksimum.
  • Jika Lubang Ditamatkan Tanpa Memasukkan Bola ke Dalam Lubang. Jika bola pemain tidak masuk lubang di bawah Peraturan, kad skor mesti menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang sama atau lebih daripada skor maksimum.
Jawatankuasa bertanggungjawab untuk melaraskan skor pemain ke had maksimum untuk mana-mana lubang apabila kad skor menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang melebihi had maksimum dan, dalam pertandingan handikap, untuk mengguna pakai pukulan handikap.
21.2c

Penalti dalam Skor Maksimum

Semua penalti yang dikenakan dalam permainan pukulan juga dikenakan dalam Skor Maksimum, kecuali pemain yang melanggar salah satu daripada lima Peraturan berikut tidak dibatalkan penyertaan tetapi menerima skor maksimum pada lubang pelanggaran:
  • Gagal masuk lubang di bawah Peraturan 3.3c,
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain dari luar kawasan tisemasa memulakan sesuatu lubang (lihat Peraturan 6.1b(2)),
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain bola salah (lihat Peraturan 6.3c),
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain dari tempat salah apabila berlaku kesalahan serius (lihat Peraturan 14.7b), atau
  • Gagal membetulkan kesalahan melakukan pukulan tidak mengikut giliran (lihat Peraturan 22.3). 
Jika pemain melanggar apa-apa Peraturan lain yang mengenakan penalti batal penyertaan, penyertaan pemain tersebut dibatalkan. Selepas mengenakan apa-apa pukulan penalti, skor pemain untuk sesuatu lubang tidak boleh melebihi skor maksimum yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
21.2d

Pengecualian Peraturan 11.2 dalam Skor Maksimum

Peraturan 11.2 tidak diguna pakai dalam situasi ini: Jika bola dalam pergerakan pemain perlu masuk lubang untuk memperolehi skor satu pukulan kurang daripada skor maksimum pada lubang tersebut dan mana-mana individu dengan sengaja memesongkan atau menghentikan bola apabila tiada peluang yang munasabah untuk bola tersebut akan masuk lubang, tiada penalti untuk individu itu dan pemain mendapat skor maksimum pada lubang tersebut.
21.2e

Bila Pusingan Tamat dalam Skor Maksimum

Pusingan pemain tamat apabila:
  • Bola pemain masuk lubang pada lubang terakhir mereka (termasuk membetulkan kesalahan, seperti di bawah Peraturan 6.1 atau 14.7b), atau
  • Pemain memilih untuk tidak masuk lubang pada lubang terakhir atau akan memperolehi skor maksimum pada lubang tersebut.
21.3

Par/Bogi

21.3a

Gambaran Keseluruhan Par/Bogi

Par/Bogi adalah suatu format permainan pukulan yang menggunakan pengiraan skor seperti dalam permainan lawan apabila:
  • Pemain atau regu memenangi atau kalah sesuatu lubang dengan menamatkan lubang tersebut dengan pukulan lebih sedikit atau lebih pukulan daripada skor sasaran lubang itu yang ditetapkan oleh Jawatankuasa, dan
  • Pertandingan dimenangi oleh pemain atau regu yang mempunyai jumlah lubang yang dimenangi yang tertinggi dibandingkan dengan lubang kalah (iaitu, dengan mencampurkan lubang yang dimenangi dan menolak lubang kalah).
Peraturan untuk permainan pukulan dalam Peraturan 1-20 diguna pakai, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan spesifik yang berikut. Peraturan 21.3 dibuat untuk:
  • Pertandingan sekata, tetapi boleh diterima pakai untuk pertandingan handikap, dan
  • Permainan individu, tetapi boleh diterima pakai untuk pertandingan yang melibatkan pemain rakan, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 22 (Empatan) dan 23 (Empat Bola), dan pertandingan berpasukan, seperti yang diubahsuaikan oleh Peraturan 24.
21.3b

Pengiraan Skor dalam Par/Bogi

(1) Bagaimana Menang atau Kalah Lubang. Pengiraan skor dilakukan seperti dalam permainan lawan, lubang dimenangi atau kalah dengan membandingkan bilangan pukulan pemain (termasuk pukulan dan pukulan penalti) dengan skor sasaran (biasanya par atau bogi) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa:
  • Jika skor pemain lebih rendah daripada skor sasaran, pemain memenangi lubang tersebut.
  • Jika skor pemain sama dengan skor sasaran, lubang tersebut seri (juga diketahui sebagai separuh).
  • Jika skor pemain lebih tinggi daripada skor sasaran, atau tiada skor yang diserahkan, pemain kalah lubang tersebut.
Bola pemain yang tidak masuk lubang di bawah Peraturan atas apa-apa sebab kalah lubang tersebut. Untuk membantu kadar permainan, pemain digalakkan berhenti bermain sesuatu lubang apabila skor mereka melebihi skor sasaran (kerana mereka telah kalah lubang tersebut). Lubang telah ditamatkan apabila bola pemain masuk lubang, memilih untuk tidak berbuat demikian atau apabila skor mereka melebihi skor sasaran. (2) Skor Diisikan untuk Setiap Lubang. Untuk mematuhi syarat dalam Peraturan 3.3b dengan mengisikan skor lubang pada kad skor:
  • Jika Lubang Ditamatkan dengan Memasukkan Bola ke Dalam Lubang:
    • Apabila Skor Memberi Keputusan Lubang Dimenangi atau Seri. Kad skor mesti menunjukkan skor sebenar.
    • Apabila Skor Memberi Keputusan Lubang Kalah. Kad skor mesti menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang memberikan keputusan lubang tersebut kalah.
  • Jika Lubang Ditamatkan Tanpa Memasukkan Bola ke Dalam Lubang. Jika pemain tidak menamatkan lubangdi bawah Peraturan, kad skor mesti menunjukkan sama ada tiada skor atau apa-apa skor yang memberikan keputusan kalah lubang tersebut.
Jawatankuasa bertanggungjawab untuk memutuskan sama ada pemain menang, kalah atau seri pada setiap lubang dan, dalam pertandingan handikap, untuk mengguna pakai pukulan handikap pada skor setiap lubang yang telah diisikan sebelum memutuskan keputusan lubang tersebut. Pengecualian – Tiada Penalti Jika Tidak Mempengaruhi Keputusan Lubang: Jika pemain menyerahkan kad skor yang mengandungi skor sesuatu lubang lebih rendah daripada skor sebenar tetapi hal ini tidak mempengaruhi sama ada lubang tersebut telah dimenangi, kalah atau seri, hal ini tiada penalti di bawah Peraturan 3.3b. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5A(5) (Terma Pertandingan boleh menggalakkan tetapi tidak menghendaki pemain mengisikan keputusan lubang pada kad skor).
21.3c

Penalti dalam Par/Bogi

Semua pukulan penalti yang dikenakan dalam permainan pukulan juga dikenakan dalam Par/Bogi, kecuali pemain yang melanggar salah satu daripada lima Peraturan yang berikut tidak dibatalkan penyertaan tetapi kalah lubang apabila berlaku pelanggaran Peraturan tersebut:
  • Gagal masuk lubang di bawah Peraturan 3.3c,
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain dari luar kawasan ti semasa memulakan sesuatu lubang (lihat Peraturan 6.1b(2)),
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain bola salah (lihat Peraturan 6.3c),
  • Gagal membetulkan kesalahan bermain dari tempat salah apabila berlaku kesalahan serius (lihat Peraturan 14.7b), atau
  • Gagal membetulkan kesalahan melakukan pukulan tidak mengikut giliran (lihat Peraturan 22.3). 
Jika pemain melanggar apa-apa Peraturan lain yang mengenakan penalti batal penyertaan, penyertaan pemain tersebut dibatalkan. Selepas dikenakan pukulan penalti, pemain tidak akan dikenakan sesuatu yang lebih buruk selain daripada kalah lubang tersebut.
21.3d

Pengecualian Peraturan 11.2 dalam Par/Bogi

Peraturan 11.2 tidak diguna pakai dalam situasi ini: Jika bola pemain dalam pergerakan perlu masuk lubang dan mana-mana individu dengan sengaja memesongkan dan menghentikan bola apabila tiada peluang yang munasabah untuk bola tersebut masuk lubang, tiada penalti untuk individu itu dan pemain kalah lubang tersebut.
21.3e

Bila Pusingan Berakhir dalam Par/Bogi

Pusingan pemain tamat apabila pemain:
  • Masuk lubang pada lubang terakhir mereka (termasuk membetulkan kesalahan, seperti di bawah Peraturan 6.1 atau 14.7b), atau
  • Memilih untuk tidak masuk lubang pada lubang terakhir atau telah kalah lubang tersebut.
21.4

Permainan Lawan Tiga Bola

21.4a

Gambaran Keseluruhan Permainan Lawan Tiga Bola

Permainan lawan Tiga Bola adalah format permainan lawan apabila:
  • Setiap seorang daripada tiga pemain bermain secara individu melawan dua pemain lain pada masa yang sama, dan
  • Setiap pemain bermain dengan menggunakan satu bola untuk kedua-dua perlawanan mereka.
Peraturan untuk permainan lawan dalam Peraturan 1-20 diguna pakai untuk semua ketiga-tiga perlawanan individu, kecuali Peraturan spesifik yang berikut diguna pakai dalam dua situasi apabila penggunaan Peraturan dalam satu perlawanan mungkin berlainan penggunaannya pada perlawanan lain.
21.4b

Bermain Tidak Mengikut Giliran

Jika pemain bermain tidak mengikut giliran dalam mana-mana perlawanan, pemain lawanyang sepatutnya bermain terlebih dahulu boleh membatalkan pukulan tersebut di bawah Peraturan 6.4a(2). Jika pemain bermain tidak mengikut giliran dalam kedua-dua perlawanan, setiap pemain lawan boleh memilih sama ada untuk membatalkan pukulan itu dalam perlawanan mereka dengan pemain tersebut. Jika pukulan pemain dibatalkan hanya dalam satu perlawanan:
  • Pemain mesti meneruskan permainan dengan menggunakan bola asal dalam perlawanan lain.
  • Hal ini bermaksud pemain mesti menamatkan lubang tersebut dengan bermain bola yang berbeza dalam setiap perlawanan.
21.4c

Bola atau Penanda Bola Diangkatkan atau Dialihkan oleh Seorang Pemain Lawan

Jika pemain lawan dikenakan satu pukulan penalti kerana mengangkat bola atau penanda bola pemain atau menyebabkan bola atau penanda bola beralih di bawah Peraturan 9.5b atau 9.7b, penalti itu dikenakan hanya dalam perlawanan dengan pemain yang terbabit itu sahaja. Pemain lawan tidak dikenakan penalti dalam perlawanan mereka dengan pemain lain.
21.5

Format Lain Bermain Golf

Walaupun hanya format permainan tertentu yang dirangkumi secara spesifik oleh Peraturan 3, 21, 22 dan 23, golf juga dimainkan dalam banyak format lain, seperti scrambles dan greensomes. Peraturan boleh diterima pakai untuk mentadbir permainan dalam format tersebut dan format lain. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 9 (saranan cara menerima pakai Peraturan untuk format permainan biasa lain).
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya