Seksyen Cetak
1
Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain:
  • Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya.
  • Bermain mengikut Peraturan dengan semangat permainan.
  • Bertanggungjawab mengenakan penalti terhadap diri sendiri jika melanggar Peraturan, supaya tidak mendapat apa-apa kelebihan dibandingkan dengan lawan dalam permainan lawan atau pemain lain dalam permainan pukulan.
1
Permainan, Kelakuan dan Peraturan
1.1

Permainan Golf

Golf dimainkan dalam suatu pusingan yang mengandungi 18 lubang (atau kurang) di lapangan dengan memukul bola menggunakan klab. Permainan dimulakan dari setiap lubang dengan melakukan pukulan dari kawasan ti dan tamat apabila bola tersebut masuk lubang di grin (atau apabila Peraturan menyatakan bahawa lubang tersebut telah ditamatkan). Untuk setiap pukulan, pemain:
  • Bermain di lapangan sedia ada, dan
  • Bermain bola di kedudukannya.
Tetapi terdapat beberapa pengecualian Peraturan yang membenarkan pemain untuk mengubah keadaan di lapangan dan menghendaki atau membenarkan pemain untuk bermain bola dari tempat yang berlainan dari kedudukan asal.
1.2

Standard Kelakuan Pemain

1.2a

Kelakuan yang Dijangkakan daripada Semua Pemain

Semua pemain dijangkakan bermain dengan semangat permainan:
  • Berintegriti – sebagai contoh, dengan mematuhi Peraturan, menerima semua penalti, dan jujur dalam semua aspek permainan.
  • Bertimbang rasa kepada orang lain – sebagai contoh, bermain dengan pantas, mengambil kira keselamatan orang lain dan tidak mengganggu permainan pemain lain. Jika pemain bermain bola yang boleh membahayakan individu lain, mereka patut memberikan amaran segera dengan jeritan “awas”.
  • Menjaga lapangan dengan baik – sebagai contoh, dengan menampal divot, meratakan bunker, membaiki kesan lekukan dan tidak menyebabkan kerosakan lapangan yang tidak sepatutnya.
Tiada penalti di bawah Peraturan kerana gagal bertindak seperti ini, kecuali Jawatankuasa boleh membatalkan penyertaan pemain kerana bertindak bertentangan dengan semangat permainan, jika Jawatankuasa mengetahui bahawa pemain telah melakukan salah laku serius. “Salah laku serius” adalah tingkah laku pemain yang jauh menyimpang daripada kelakuan yang dijangkakan dalam permainan golf bahawa hukuman yang paling berat dengan mengeluarkan pemain daripada pertandingan adalah wajar. Penalti selain daripada pembatalan penyertaan boleh dikenakan untuk salah laku pemain hanya jika penalti tersebut telah diterima pakai sebagai sebahagian daripada Kod Kelakuan di bawah Peraturan 1.2b.
1.2b

Kod Kelakuan

Jawatankuasa boleh menentukan standard kod kelakuan pemain dalam Kod Kelakuan yang telah diterima pakai sebagai Peraturan Tempatan.
  • Kod Kelakuan boleh termasuk penalti kerana melanggar standard tersebut, seperti satu pukulan penalti atau penalti umum.
  • Jawatankuasa boleh juga membatalkan penyertaan pemain untuk salah laku serius kerana gagal mematuhi standard Kod Kelakuan.
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5I (menerangkan standard kelakuan pemain yang boleh diterima pakai).
1.3

Bermain Mematuhi Peraturan

1.3a

Maksud “Peraturan”; Terma Pertandingan

“Peraturan” bermaksud:
  • Peraturan 1 ke 25 dan Definisi dalam Peraturan Golf, dan
  • Apa-apa “Peraturan Tempatan” yang diterima pakai oleh Jawatankuasa untuk pertandingan atau lapangan.
Pemain juga bertanggungjawab untuk mematuhi semua “Terma Pertandingan” yang telah diterima pakai oleh Jawatankuasa (seperti syarat penyertaan, format dan tarikh permainan, bilangan pusingan serta bilangan dan turutan lubang dalam sesuatu pusingan). Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5C dan Seksyen 8 (Peraturan Tempatan dan Model Peraturan Tempatan lengkap yang dibenarkan); Seksyen 5A (Terma Pertandingan).
1.3b

Mengguna Pakai Peraturan

(1) Tanggungjawab Pemain Mengguna Pakai Peraturan. Pemain bertanggungjawab untuk mengguna pakai Peraturan terhadap diri sendiri:
  • Pemain dijangkakan untuk mengakui apabila mereka telah melanggar Peraturan dan jujur mengenakan penalti terhadap diri sendiri.
    • Jika pemain mengetahui bahawa mereka telah melanggar Peraturan yang melibatkan penalti dan dengan sengaja gagal mengenakan penalti, penyertaan pemain tersebut dibatalkan.
    • Jika dua atau lebih pemain dengan sengaja bersetuju mengabaikan Peraturan atau penalti yang mereka ketahui diguna pakai dan mana-mana pemain telah memulakan pusingan itu, penyertaan mereka dibatalkan (walaupun mereka belum bertindak atas persetujuan tersebut).
  • Apabila pemain perlu untuk memutuskan fakta persoalan, mereka bertanggungjawab untuk mempertimbangkan bukan hanya pengetahuan mereka mengenai fakta tersebut tetapi juga maklumat lain yang ada.
  • Pemain boleh meminta bantuan Peraturan daripada pengadil atau Jawatankuasa, tetapi jika bantuan tersebut tidak boleh diperolehi dalam masa yang wajar, pemain mesti meneruskan permainan dan kemudiannya membangkitkan isu tersebut kepada pengadil atau Jawatankuasa (lihat Peraturan 20.1).
(2) Menerima “Pertimbangan Wajar” Pemain Menentukan Lokasi Apabila Mengguna Pakai Peraturan.
  • Banyak Peraturan menghendaki pemain menentukan tempat, titik, garisan, had, kawasan atau lokasi lain di bawah Peraturan, seperti yang berikut:
    • Menganggarkan tempat terakhir bola melintasi had kawasan penalti,
    • Menganggarkan atau mengukur (tempat, titik, garisan, had, kawasan atau lokasi) apabila menjatuhkan atau meletakkan bola semasa mengambil pelepasan,
    • Meletakkan semula bola di tempat asal (sama ada tempat tersebut diketahui atau dianggarkan),
    • Menentukan kawasan lapangan tempat bola berada, termasuk bola berada di lapangan, atau
    • Menentukan jika bola menyentuh atau berada dalam keadaan lapangan tidak normal
  • Penentuan lokasi tersebut perlu dibuat dengan segera dan cermat tetapi kebiasaannya tidak tepat.
  • Asalkan pemain melakukan sesuatu yang dijangkakan dengan wajar untuk penentuan yang tepat, pertimbangan wajar pemain akan diterima, walaupun selepas pukulan dilakukan, penentuan tersebut dibuktikan salah oleh video atau maklumat lain.
  • Jika pemain mengetahui penentuan salah sebelum pukulan dilakukan, penentuan tersebut mesti dibetulkan (lihat Peraturan 14.5).
1.3c

Penalti

(1) Tindakan Mengakibatkan Penalti. Penalti dikenakan apabila pelanggaran Peraturan disebabkan oleh tindakan pemain atau kedi pemain (lihat Peraturan 10.3c). Penalti juga dikenakan apabila:
  • Individu lain mengambil tindakan yang melanggar Peraturan jika diambil oleh pemain atau kedi dan individu tersebut berbuat demikian atas permintaan pemain atau ketika bertindak dengan kebenaran pemain, atau
  • Pemain melihat individu lain mengambil tindakan yang melibatkan bola atau peralatan pemain yang diketahui akan melanggar Peraturan jika diambil oleh pemain atau kedi dan tidak mengambil langkah yang wajar untuk membantah atau menghentikannya.
(2) Tahap Penalti. Penalti yang dimaksudkan adalah untuk membatalkan apa-apa kelebihan yang akan diterima oleh pemain. Terdapat tiga tahap penalti:
  • Satu Pukulan Penalti. Penalti ini dikenakan dalam permainan lawan dan permainan pukulan di bawah Peraturan tertentu seperti yang berikut (a) kelebihan kerana pelanggaran Peraturan adalah kecil atau (b) pemain mengambil pelepasan penalti dengan bermain bola dari tempat selain daripada kedudukan bola asal.
  • Penalti Umum (Kalah Lubang dalam Permainan Lawan, Dua Pukulan Penalti dalam Permainan Pukulan). Penalti ini dikenakan untuk pelanggaran kebanyakan Peraturan, iaitu kelebihan lebih ketara jika dibandingkan dengan hanya satu pukulan penalti.
  • Batal Penyertaan. Dalam permainan lawan dan permainan pukulan, penyertaan pemain boleh dibatalkan daripada pertandingan disebabkan oleh tindakan tertentu atau pelanggaran Peraturan yang melibatkan salah laku serius (lihat Peraturan 1.2) atau kelebihan ketara untuk menganggap skor pemain sebagai sah.
(3) Tiada Budi Bicara Mengubah Penalti. Penalti perlu dikenakan seperti yang disediakan dalam Peraturan:
  • Pemain atau Jawatankuasa tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan penalti dengan cara yang berlainan, dan
  • Mengenakan penalti yang salah atau gagal untuk mengenakan penalti tidak boleh diubah jika terlalu lewat untuk membetulkan kesalahan tersebut (lihat Peraturan 20.1b(2), 20.1b(3), 20.2d dan 20.2e).
Dalam permainan lawan, pemain dan pemain lawan boleh memutuskan isu Peraturan asalkan mereka tidak mengabaikan apa-apa Peraturan atau penalti yang dikenakan (lihat Peraturan 20.1b(1)). (4) Mengenakan Penalti Pelbagai Pelanggaran Peraturan. Sama ada pemain dikenakan penalti disebabkan oleh pelanggaran pelbagai Peraturan atau melanggar Peraturan yang sama berulang kali bergantung pada kejadian perantaraan dan apa yang telah dilakukan oleh pemain. Untuk tujuan mengguna pakai Peraturan ini, terdapat dua kejadian perantaraan:
  • Pukulan yang disempurnakan, dan
  • Menyedari atau dimaklumkan mengenai pelanggaran Peraturan (apabila pemain mengetahui atau dimaklumkan mereka telah melanggar Peraturan atau pemain tidak pasti sama ada mereka telah melanggar Peraturan atau tidak).
Penalti yang dikenakan adalah seperti yang berikut:
  • Satu Penalti Dikenakan untuk Pelbagai Pelanggaran Peraturan di Antara Kejadian Perantaraan: Jika pemain melanggar pelbagai Peraturan atau melanggar Peraturan yang sama berulang kali di antara kejadian perantaraan, pemain hanya dikenakan satu penalti. Jika Peraturan yang dilanggar tersebut mempunyai penalti yang berlainan, pemain dikenakan tahap penalti yang lebih berat.
  • Pelbagai Penalti Dikenakan untuk Pelanggaran Sebelum dan Selepas Kejadian Perantaraan: Jika pemain melanggar sesuatu Peraturan dan kemudiannya melanggar Peraturan yang sama atau Peraturan lain selepas kejadian perantaraan, pemain dikenakan pelbagai penalti.
Pengecualian – Kegagalan Meletakkan Semula Bola di Tempat Asal Sebelum Dialihkan: Jika pemain dikehendaki meletakkan semula bola yang telah dialihkan di bawah Peraturan 9.4 tetapi gagal untuk berbuat demikian dan bermain dari tempat salah, mereka dikenakan penalti umum di bawah Peraturan 14.7a. Tetapi apa-apa pukulan penalti yang dikenakan kepada pemain untuk mengambil pelepasan penalti (seperti satu pukulan penalti di bawah Peraturan 17.1, 18.1 dan 19.2), penalti dikenakan sebagai tambahan pada apa-apa penalti lain.
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 2Lapangan
Tujuan Peraturan: Peraturan 2 memperkenalkan perkara asas yang patut diketahui oleh setiap pemain mengenai lapangan: Terdapat lima kawasan lapangan...
Baca selanjutnya