Seksyen Cetak
5
Bermain Suatu Pusingan
Tujuan Peraturan: Peraturan 5 merangkumi cara bermain sesuatu pusingan – seperti tempat dan masa pemain boleh berlatih di lapangan sebelum atau semasa pusingan, bila suatu pusingan bermula dan berakhir dan apa yang akan berlaku apabila permainan dihentikan atau disambung semula. Pemain dijangkakan untuk:
  • Memulakan setiap pusingan tepat pada masa, dan
  • Bermain berterusan dengan pantas pada setiap lubang sehingga pusingan ditamatkan.
Apabila tiba giliran bermain, pemain disarankan melakukan pukulan dalam masa tidak lebih daripada 40 saat, dan kebiasaanya lebih pantas daripada masa itu.
5
Bermain Suatu Pusingan
5.1

Maksud Pusingan

Satu “pusingan” mengandungi 18 lubang atau kurang dimainkan mengikut turutan yang ditentukan oleh Jawatankuasa. Apabila pusingan berakhir dengan keputusan seri dan permainan akan diteruskan sehingga terdapat pemenang:
  • Perlawanan Berkeputusan Seri Dilanjutkan Satu Lubang Pada Satu Masa. Hal ini adalah lanjutan kepada pusingan yang sama, bukan pusingan baharu.
  • Permainan Penentuan dalam Permainan Pukulan. Hal ini ialah pusingan baharu.
Pemain bermain pusingan mereka apabila pusingan itu bermula sehingga pusingan tersebut tamat (lihat Peraturan 5.3), kecuali ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a. Apabila Peraturan merujuk kepada tindakan yang diambil “semasa suatu pusingan”, hal itu tidak termasuk ketika permainan dihentikan di bawah Peraturan 5.7a kecuali Peraturan menyatakan sebaliknya.
5.2

Berlatih di Lapangan Sebelum atau Antara Pusingan

Untuk tujuan Peraturan ini:
  • “Berlatih di lapangan” bermaksud bermain bola, atau menguji permukaan grin mana-mana lubang dengan menggolekkan bola atau menggosok permukaan grin tersebut, dan
  • Had berlatih di lapangan sebelum atau antara pusingan hanya dikenakan kepada pemain, bukan kepada kedi pemain.
5.2a

Permainan Lawan

Pemain boleh berlatih di lapangan sebelum pusingan atau antara pusingan dalam pertandingan permainan lawan.
5.2b

Permainan Pukulan

Pada hari pertandingan permainan pukulan :
  • Pemain mesti tidak berlatih di lapangan sebelum suatu pusingankecuali pemain boleh:
    • Berlatih pukulan leret atau pukulan cip di atas atau berdekatan kawasan ti pertama mereka.
    • Berlatih di mana–mana kawasan latihan.
    • Berlatih di atas atau berdekatan grin lubang yang baru ditamatkan walaupun mereka akan bermain lubang itu lagi pada hari yang sama (lihat Peraturan 5.5b). 
  • Pemain boleh berlatih di lapangan tersebut setelah tamat bermain pusingan terakhir mereka pada hari itu.
Jika pemain melakukan pukulan yang melanggar Peraturan ini, mereka dikenakan penalti umum pada lubang pertama mereka. Jika mereka melakukan pukulan tambahan yang melanggar Peraturan ini, penyertaan mereka dibatalkan. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8, Model Peraturan Tempatan I-1 (dalam mana-mana format permainan, Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan untuk melarang, mengehadkan atau membenarkan latihan di lapangan sebelum atau antara pusingan).
5.3

Memulakan dan Menamatkan Pusingan

5.3a

Masa Memulakan Pusingan

Pusingan pemain bermula apabila pemain melakukan pukulan untuk memulakan lubang pertama mereka (lihat Peraturan 6.1a). Pemain mesti bermula pada (dan tidak sebelum) masa bermula mereka:
  • Hal ini bermaksud pemain mesti sedia untuk bermain pada masa bermula dan di titik permulaan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.
  • Masa bermula yang ditetapkan oleh Jawatankuasa dianggap masa yang tepat (sebagai contoh, jam 9 pagi bermaksud 9.00.00 pagi, bukan bila-bila masa sehingga jam 9.01 pagi).
Jika masa bermula ditangguhkan disebabkan oleh apa-apa alasan (seperti cuaca, permainan perlahan oleh kumpulan lain atau keperluan keputusan pengadil), tiada pelanggaran Peraturan ini jika pemain telah tiba dan sedia untuk bermain apabila kumpulan tersebut bersedia untuk bermula. Penalti Melanggar Peraturan 5.3a: Batal Penyertaan, kecuali dalam tiga kes yang berikut:
  • Pengecualian 1 – Pemain Tiba di Titik Permulaan, Sedia untuk Bermain, Lewat Tidak Lebih Daripada Lima Minit: Pemain dikenakan penalti umum pada lubang pertama mereka.
  • Pengecualian 2 – Pemain Bermula Awal Tidak Lebih Daripada Lima Minit: Pemain dikenakan penalti umum pada lubang pertama mereka.
  • Pengecualian 3 – Jawatankuasa Memutuskan Situasi Luar Biasa Menghalang Pemain daripada Bermula Tepat pada Masa: Tiada pelanggaran Peraturan ini dan tiada penalti.
5.3b

Bila Pusingan Tamat

Pusingan pemain tamat:
  • Dalam permainan lawan , apabila keputusan perlawanan diputuskan di bawah Peraturan 3.2a (3) atau (4).
  • Dalam permainan pukulan, apabila bola pemain masuk lubang pada lubang terakhir (termasuk membetulkan kesalahan, seperti di bawah Peraturan 6.1 atau 14.7b).
Lihat Peraturan 21.1e, 21.2e, 21.3e dan 23.3b (bila pusingan bermula dan tamat dalam format lain permainan pukulan dan Empat Bola).
5.4

Bermain dalam Kumpulan

5.4a

Permainan Lawan

Semasa suatu pusingan, pemain dan pemain lawan mesti bermain setiap lubang dalam kumpulan yang sama.
5.4b

Permainan Pukulan

Semasa suatu pusingan, pemain mesti kekal berada dalam kumpulan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa, kecuali Jawatankuasa meluluskan suatu perubahan sama ada sebelum atau selepas ia berlaku. Penalti Melanggar Peraturan 5.4: Batal Penyertaan.
5.5

Berlatih Semasa Pusingan atau Ketika Permainan Dihentikan

5.5a

Pukulan Latihan Tidak Dibenarkan Ketika Bermain Lubang

Ketika bermain sesuatu lubang, pemain mesti tidak melakukan pukulan latihan pada mana-mana bola di dalam atau di luar lapangan. Hal berikut bukan pukulan latihan:
  • Ayunan latihan yang dilakukan tanpa niat untuk memukul bola.
  • Memukul bola kembali ke kawasan latihan atau kepada pemain lain, apabila dilakukan semata-mata sebagai bantuan ikhlas.
  • Pukulan yang dilakukan oleh pemain semasa bermain lubang apabila mana keputusannya telah diputuskan.
5.5b

Sekatan Pukulan Latihan Antara Dua Lubang

Selepas menamatkan permainan suatu lubang, tetapi sebelum melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain, pemain mesti tidak melakukan pukulan latihan. Pengecualian – Tempat Pemain Dibenarkan Berlatih Pukulan Leret atau Pukulan Cip: Pemain boleh berlatih pukulan leret atau pukulan cip di atas atau berdekatan dengan:
  • Grin lubang yang baru sahaja ditamatkan dan mana-mana grin latihan (lihat Peraturan 13.1e), dan
  • Kawasan ti lubang yang berikutnya.
Tetapi pukulan latihan tersebut mesti tidak dilakukan dari bunker dan mesti tidak melengahkan permainan dengan tidak wajar.(lihat Peraturan 5.6a). Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8, Model Peraturan Tempatan I-2 (Jawatankuasa boleh menerima pakai Peraturan Tempatan melarang pemain daripada berlatih pukulan leret atau pukulan cip di atau berdekatan grin lubang yang baru sahaja ditamatkan).
5.5c

Berlatih Ketika Permainan Ditangguhkan atau Dihentikan

Ketika permainan ditangguhkan atau dihentikan di bawah Peraturan 5.7a, pemain mesti tidak melakukan pukulan latihan kecuali:
  • Seperti yang dibenarkan dalam Peraturan 5.5b,
  • Di mana–mana tempat di luar lapangan, dan
  • Di mana–mana tempat di lapangan yang dibenarkan oleh Jawatankuasa.
Jika perlawanan dihentikan dengan persetujuan pemain-pemain dan tidak akan disambungkan semula pada hari yang sama, pemain boleh berlatih di lapangan tersebut tanpa sekatan sebelum perlawanan disambung semula. Penalti Melanggar Peraturan 5.5: Penalti Umum . Jika pelanggaran Peraturan berlaku antara dua lubang, penalti akan dikenakan pada lubang yang berikutnya.
5.6

Melengahkan Permainan Tanpa Sebab; Kadar Permainan Pantas

5.6a

Melengahkan Permainan Tanpa Sebab

Pemain mesti tidak melengahkan permainan tanpa sebab, sama ada bila bermain sesuatu lubang atau di antara dua lubang. Pemain mungkin dibenarkan untuk melengahkan permainan untuk sementara waktu atas sebab yang tertentu, seperti:
  • Apabila pemain meminta bantuan daripada pengadil atau Jawatankuasa,
  • Apabila pemain jatuh sakit atau cedera, atau
  • Apabila ada sebab lain yang munasabah.
Penalti Melanggar Peraturan 5.6a:
  • Penalti pelanggaran Peraturan pertama kali: Satu pukulan penalti.
  • Penalti pelanggaran Peraturan kali kedua Penalti Umum.
  • Penalti pelanggaran Peraturan kali ketiga: Batal Penyertaan.
Jika pemain melengahkan permainan tanpa sebab munasabah antara dua lubang, penalti dikenakan pada lubang berikutnya. Lihat Peraturan 25.6a (mengguna pakai Peraturan 5.6a untuk pemain OKU).
5.6b

Kadar Permainan Pantas

Suatu pusingan permainan golf dimaksudkan untuk dimainkan dengan pantas. Setiap pemain patut menyedari bahawa kadar permainan mereka akan mempengaruhi jangka masa yang diperlukan oleh pemain lain untuk bermain pusingan mereka, termasuk pemain dalam kumpulan pemain tersebut dan pemain lain dalam kumpulan yang berikutnya. Pemain digalakkan memberi laluan kepada kumpulan yang lebih pantas untuk memintas. (1) Saranan Kadar Permainan. Pemain patut bermain dengan pantas di sepanjang pusingan, termasuk masa yang diambil untuk:
  • Persediaan dan melakukan setiap pukulan,
  • Bergerak dari satu tempat ke tempat lain di antara pukulan, dan
  • Bergerak ke kawasan ti berikutnya selepas menamatkan suatu lubang.
Pemain patut membuat persediaan terlebih dahulu untuk pukulan yang berikutnya dan bersedia bermain apabila tiba giliran. Apabila tiba giliran pemain untuk bermain:
  • Pemain disarankan melakukan pukulan tidak lebih daripada 40 saat selepas mereka (atau sepatutnya) dapat bermain tanpa gangguan atau pengalihan tumpuan, dan Kebiasaannya pemain patut boleh bermain dengan lebih pantas daripada itu dan
  • digalakkan untuk berbuat demikian.
(2) Bermain Tidak Mengikut Giliran untuk Mempercepatkan Kadar Permainan. Bergantung kepada format permainan, ada waktunya apabila pemain mungkin boleh bermain tanpa mengikut giliran untuk membantu mempercepatkan kadar permainan:
  • Dalam permainan lawan, pemain boleh bersetuju untuk salah seorang daripada mereka bermain tanpa mengikut giliran untuk menjimatkan masa (lihat Pengecualian kepada Peraturan 6.4a).
  • Dalam permainan pukulan, pemain boleh bermain ‘golf siap sedia’ dengan cara selamat dan bertanggung jawab (lihat Peraturan 6.4b(2)).
(3) Polisi Kadar Permainan oleh Jawatankuasa. Untuk menggalakkan dan menguatkuasakan permainan pantas, Jawatankuasa patut menerima pakai Peraturan Tempatan yang menetapkan Polisi Kadar Permainan. Polisi ini boleh menetapkan masa maksimum untuk menamatkan suatu pusingan, suatu lubang atau turutan lubang dan suatu pukulan, dan boleh menetapkan penalti kerana tidak mematuhi Polisitersebut.
Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 5H (saranan isi kandungan Polisi Kadar Permainan).
5.7

Menghentikan Permainan; Menyambung Semula Permainan

5.7a

Bila Pemain Boleh atau Mesti Menghentikan Permainan

Semasa suatu pusingan, pemain mesti tidak berhenti bermain kecuali dalam kes berikut:
  • Penangguhan oleh Jawatankuasa. Semua pemain mesti berhenti bermain jika Jawatankuasa menangguhkan permainan (lihat Peraturan 5.7b).
  • Bersetuju Menghentikan Permainan dalam Permainan Lawan. Pemain dalam permainan lawan boleh bersetuju untuk berhenti bermain atas apa-apa sebab, kecuali jika berbuat demikian melengahkan pertandingan tersebut. Jika mereka bersetuju untuk berhenti bermain dan kemudiannya terdapat seorang pemain ingin menyambung semula permainan, perjanjian tersebut terbatal dan pemain lain mesti menyambung semula permainan.
  • Pemain Individu Berhenti Bermain Disebabkan oleh Kilat. Seorang pemain boleh berhenti bermain jika mereka percaya terdapat bahaya daripada kilat, tetapi mesti melaporkan kepada Jawatankuasa secepat mungkin.
Meninggalkan lapangan bukan, dengan sendirinya, berhenti bermain. Kelewatan permainan pemain dirangkumi oleh Peraturan 5.6a, bukan oleh Peraturan ini. Jika pemain berhenti bermain atas apa-apa sebab yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan ini atau gagal untuk melaporkan kepada Jawatankuasa apabila dikehendaki untuk berbuat demikian, penyertaan pemain tersebut akan dibatalkan.
5.7b

Apa Pemain Mesti Lakukan Apabila Jawatankuasa Menangguhkan Permainan

Terdapat dua jenis penangguhan permainan oleh Jawatankuasa setiap satu dengan keperluan yang berbeza bila pemain mesti berhenti bermain. (1) Penangguhan Serta Merta (Seperti Apabila Bahaya Akan Berlaku). Jika Jawatankuasa mengisytiharkan penangguhan permainan serta merta, pemain mesti tidak melakukan pukulan lain sehingga Jawatankuasa menyambung semula permainan. Jawatankuasa  patut menggunakan kaedah yang jelas untuk memberitahu pemain mengenai penangguhan serta merta. (2) Penangguhan Biasa (Seperti Kegelapan atau Lapangan Tidak Sesuai Untuk Dimainkan). Jika Jawatankuasa menangguhkan permainan atas sebab biasa, apa yang berlaku seterusnya adalah bergantung kepada tempat setiap kumpulan berada:
  • Antara Dua Lubang. Jika semua pemain dalam kumpulan tersebut berada antara dua lubang, mereka mesti berhenti bermain dan mesti tidak melakukan pukulan untuk memulakan lubang lain sehingga Jawatankuasa menyambung semula permainan.
  • Ketika Bermain Lubang. Jika mana-mana pemain dalam kumpulan tersebut telah memulakan lubang, pemain boleh memilih sama ada untuk berhenti bermain atau menamatkan lubang tersebut.
    • Pemain dibenarkan masa singkat (biasanya patut tidak lebih daripada dua minit) untuk memutuskan sama ada untuk berhenti bermain atau menamatkan lubang tersebut.
    • Jika pemain meneruskan permainan lubang tersebut, mereka boleh menamatkan lubang atau berhenti sebelum menamatkan lubang tersebut.
    • Setelah pemain menamatkan lubang atau berhenti sebelum menamatkan lubang tersebut, mereka mesti tidak melakukan pukulan lain sehingga Jawatankuasa menyambung semula permainan di bawah Peraturan 5.7c.
Jika pemain tidak bersetuju dengan apa yang patut dilakukan:
    • Permainan Lawan. Jika pemain lawan berhenti bermain, pemain mesti juga berhenti bermain dan kedua-dua pemain mesti tidak bermain semula sehingga Jawatankuasa menyambung semula permainan. Jika pemain tidak berhenti bermain, pemain tersebut dikenakan penalti umum (kalah lubang).
    • Permainan Pukulan. Mana-mana pemain boleh memilih untuk berhenti bermain atau meneruskan lubang tersebut, tanpa mengira keputusan pemain lain dalam kumpulan tersebut, kecuali pemain boleh meneruskan permainan hanya jika penanda skor ada bersama untuk merekodkan skor pemain.
Penalti Melanggar Peraturan 5.7b: Batal Penyertaan. Pengecualian – Tiada Penalti Jika Jawatankuasa Memutuskan Kegagalan Berhenti Mempunyai Alasan Kukuh: Tiada pelanggaran Peraturan ini dan tiada penalti jika Jawatankuasa memutuskan keadaan itu mempunyai alasan kukuh menyebabkan pemain gagal berhenti bermain apabila dikehendaki berbuat demikian. Lihat Prosedur Jawatankuasa, Seksyen 8: Model Peraturan Tempatan J-1 (cara yang disarankan untuk Jawatankuasa menunjukkan penangguhan serta merta dan biasa kepada pemain).
5.7c

Apa Pemain Mesti Lakukan Apabila Permainan Disambung Semula

(1) Tempat Menyambung Semula Permainan. Pemain mesti menyambung semula permainan dari tempat pemain berhenti bermain atau, jika antara dua lubang, di kawasan ti berikutnya, walaupun permainan disambung semula pada hari lain. Jika pemain menyambung semula permainan dari tempat lain daripada tempat permainan dihentikan, lihat Peraturan 6.1b dan 14.7. (2) Bila Menyambung Semula Permainan. Pemain mesti berada di tempat yang telah dikenal pastikan dalam (1) dan bersedia untuk bermain:
  • Pada masa yang ditetapkan oleh Jawatankuasa untuk permainan disambung semula, dan
  • Pemain mesti menyambung semula permainan pada (dan bukan sebelum) masa itu.
Jika kemampuan untuk menyambung semula permainan ditangguhkan atas apa-apa sebab (seperti apabila pemain dalam kumpulan di hadapan perlu bermain terlebih dahulu dan bergerak keluar), tiada pelanggaran Peraturan ini jika pemain telah hadir dan sedia untuk bermain bila kumpulan tersebut boleh menyambung semula permainan. Penalti Melanggar Peraturan 5.7c(2): Batal Penyertaan. Pengecualian Batal Penyertaan atas Kegagalan untuk Menyambung Semula Pada Masa yang Ditetapkan: Pengecualian 1, 2 dan 3 dalam Peraturan 5.3a dan Pengecualian kepada Peraturan 5.7b juga diguna pakai.
5.7d

Mengangkat Bola Apabila Permainan Dihentikan; Meletakkan Semula dan Menggantikan Bola Apabila Permainan Disambung Semula

(1) Mengangkat Bola Apabila Permainan Dihentikan atau Sebelum Permainan Disambung Semula. Apabila menghentikan permainan sesuatu lubang di bawah Peraturan ini, pemain boleh menandakan tempat bola mereka berada dan mengangkat bola tersebut (lihat Peraturan 14.1). Sama ada sebelum atau apabila permainan disambung semula:
  • Apabila Bola Pemain Diangkatkan Apabila Permainan Dihentikan. Pemain mesti meletakkan semula bola asal atau bola lain di tempat asal (jika tidak di ketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2).
  • Apabila Bola Pemain Tidak Diangkat Apabila Permainan Dihentikan. Pemain boleh bermain bola di kedudukannya, atau boleh menandakan tempat bola, mengangkatkan bola (lihat Peraturan 14.1) dan meletakkan semula bola itu atau bola lain di tempat asal tersebut (lihat Peraturan 14.2).
Dalam mana-mana kes tersebut:
  • Jika kedudukan bola berubah disebabkan oleh tindakan mengangkat bola, pemain mesti meletakkan semula bola itu atau bola lain seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 14.2d.
  • Jika kedudukan bola berubah selepas bola diangkat dan sebelum bola diletakkan semula, Peraturan 14.2d tidak diguna pakai:
    • Bola asal atau bola lain mesti diletakkan semula di tempat asal (jika tidak di ketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2).
    • Tetapi jika kedudukan bola atau keadaan mempengaruhi pukulan menjadi bertambah buruk pada masa ini, Peraturan 8.1d diguna pakai.
(2) Apa Patut Dilakukan Jika Bola atau Penanda Bola Dialihkan Ketika Permainan Dihentikan. Jika bola atau penanda bola pemain dialihkan dengan apa-apa cara sebelum permainan disambung semula (termasuk oleh kuasa semula jadi), pemain mesti sama ada:
  • Meletakkan semula bola asal atau bola lain di tempat asal (jika tidak diketahui mesti dianggarkan) (lihat Peraturan 14.2), atau
  • Meletakkan penanda bola untuk menandakan tempat asal itu, dan kemudiannya meletakkan semula bola asal atau bola lain di tempat itu (lihat Peraturan 14.1 dan 14.2).
Jika keadaan mempengaruhi pukulan pemain menjadi bertambah buruk ketika permainan dihentikan, lihat Peraturan 8.1d. Penalti Bermain Bola dari Tempat Salah Melanggar Peraturan 5.7d: Penalti Umum di Bawah Peraturan 14.7a.
TEROKAI SELANJUTNYA
Peraturan 1Permainan, Kelakuan dan Peraturan
Tujuan Peraturan: Peraturan 1 memperkenalkan prinsip asas permainan untuk pemain: Bermain di lapangan sedia ada dan bermain bola di kedudukannya. ...
Baca selanjutnya